Home Tempatan Anak luar nikah dari ibu warga asing tidak diberi kewarganegaraan

Anak luar nikah dari ibu warga asing tidak diberi kewarganegaraan

Penentu kewarganegaraan bagi kanak-kanak tersebut berdasarkan kewarganegaraan ibu, kata Zahid Hamidi

SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian dalam negeri menegaskan anak wanita warga asing yang lahir di luar perkahwinan tidak akan diberi taraf kewarganegaraan.

Walaupun bapanya merupakan warganegara, kata Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Seksyen 17 Jadual Kedua Bahagian III Perlembagaan Persekutuan menyatakan penentuan kewarganegaraan bagi kes sedemikian berdasarkan kewarganegaraan ibu.

“Justeru menjadi tanggungjawab kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal ibu kanak-kanak melalui kedutaan negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis 21 Mac lalu kepada soalan William Leong Jee Ken (PKR-Selayang) meminta KDN menyatakan langkah bagi menyelesaikan masalah kewarganegaraan bagi kanak-kanak tersebut.

Katanya lagi, kelahiran di negara ini tidak menyebabkan individu mendapat kewarganegaraan secara automatik.

“Status warganegara adalah anugerah tertinggi yang diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Zahid.

Antara kes seumpama itu berlaku 16 Mac lalu, apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang lahir di luar perkahwinan oleh bapa warga Malaysia dan ibu warga Thailand.

Mahkamah mengambil keputusan itu antaranya kerana kanak-kanak itu boleh mengambil kewarganegaraan Thailand berdasarkan kerakyatan ibunya.

Free Malaysia Today

Comments