Home Pendapat An-Nakbah: Bila Minoriti Pelampau Mengganas!

An-Nakbah: Bila Minoriti Pelampau Mengganas!

SHARE

Tahun ini genap 69 tahun peristiwa berdarah ‘An-Nakbah’ yang telah menyaksikan kekejaman Israel ke atas umat Islam di Palestin. Tanggal 15 Mei 1948, berkibarnya bendera ‘The Star of David’ menandakan kejayaan penubuhan kerajaan haram Israel di atas bumi anbiya. Sebaliknya bagi umat Islam di Palestin, ia menandakan permulaan kepada peristiwa yang dirujuk sebagai ‘An-Nakbah’ (النكبة) yang bermaksud ‘malapetaka’ dimana segala bentuk pencerobohan kemanusiaan ke atas rakyat Palestin seolah-olah direstui oleh masyarakat antarabangsa.

Bermula detik itu, tentera Zionis mula menakluki tanah Palestin secara meluas dan memulakan operasi penghapusan etnik secara besar-besaran. Tentera Zionis bersama samseng dari Geng Stern dan Irgun yang terkenal dengan unit keganasan, memasuki desa Deir Yassin dan menyerbu setiap rumah yang ada dengan menembak dan membunuh setiap penghuninya yang tidak berdosa. Tanpa perikemanusiaan, mereka yang terselamat kemudian dikumpulkan bersama-sama dan kemudiannya dibunuh dengan kejam. Peristiwa ini juga menyaksikan lebih 30 orang bayi yang turut menjadi mangsa kekejaman Yahudi Zionis.

Seorang saksi berusia 12 tahun di Deir Yassin melaporkan: “Mereka membawa kami keluar satu demi satu, menembak orang tua dan ketika salah seorang anaknya menangis, dia juga akan ditembak. Lalu mereka memanggil Muhammad, adik saya dan menembak dia di depan kami dan ketika ibuku berteriak membongkok di atasnya dengan membawa adik saya Hudra di tangannya, masih menyusu – mereka menembak dia juga”.

Regim Zionis terus menggila, akibat terlalu taksub untuk membina kerajaan Israel, mereka tanpa belas kasihan mengusir seramai 750,000 rakyat Palestin dan telah memusnahkan beratus-ratus perkampungan Palestin sehingga menyebabkan rakyat Palestin hilang hak di tanah air sendiri. Apa yang lebih memilukan, mereka telah dinafikan “hak untuk pulang” walaupun hak itu telah termaktub dalam Artikel 13, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 dan diperakui melalui Artikel 11 Resolusi 194 yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 11 Disember 1948. Lantaran itu, rakyat Palestin telah menjadi pelarian yang bertebaran di serata dunia.

Pada tahun 1982, an-Nakbah masih berterusan. Rakyat Palestin terus bermandikan darah dimana beribu-ribu pelarian Palestin telah dibunuh dengan cara yang sangat menyayat hati di Kem Sabra dan Shatila di Beirut, Lubnan. Dakwaan Ariel Sharon selaku Menteri Pertahanan Israel kononnya terdapat seramai 2,000 hingga ke 3,000 orang pengganas di Kem Sabra dan Shatila telah menyebabkan Amerika Syarikat membenarkan tentera Israel meneruskan pembunuhan keji itu tanpa dihalang selama tiga hari tiga malam berturut-turut.

Menjelang 16 September, semua pintu keluar disekat dan tentera Zionis yang dipimpin oleh Ariel Sharon berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang terlepas lari keluar. Kemudian, puak militan Kristian Phalangist yang zalim telah dibenarkan masuk dan telah membedil pelarian Palestin yang dianggapnya sebagai ‘sarang pengganas’ dengan bersenjatakan senapang, pisau dan kapak.

Mereka terus membunuh dengan rakus, menembak dan menyembelih pelarian Palestin tanpa mengira lelaki, wanita atau kanak-kanak. Apa yang lebih tragis, wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol dan dibunuh dengan sifat kebinatangan yang membuak-buak. Pada malam yang sama, kem pelarian Palestin bagaikan padang bola apabila tentera Zionis telah melimpahkan cahaya sehingga terang benderang bagi membolehkan pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam. Rentetan kezaliman ini dianggarkan seramai 3,000 nyawa rakyat Palestin telah terkorban.

Peristiwa hitam An-Nakbah akan terus terpahat dalam sejarah umat Islam Palestin dan umat Islam di seluruh dunia sebagai satu daripada berpuluh-puluh tragedi yang menimpa umat Islam setelah berlakunya nakbah pada tahun 1948.

Sehingga ke hari ini, nakbah terus membelengu rakyat Palestin. Walaupun tindakan diluar batas kemanusian ini mendapat kutukan seantero dunia, tiada siapa yang dipertanggungjawabkan ke atas kezaliman ini, jauh sekali dihukum dengan setimpalnya. The Hague nampaknya menutup mata rapat dengan peristiwa ini.

Hakikatnya, peristiwa ini tidak terbatas kepada bumi Palestin semata-mata, pendatang Yahudi yang dahulunya merupakan minoriti mengganas seperti binatang buas setelah diberikan sebidang tanah. Di Bosnia pula pada tahun 1991, puak minoriti Serbia memulakan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam negara itu. Wanita pula dirogol dengan rakusnya oleh tentera Serbia dan sekutu mereka.

Puak minoriti di Sri Lanka telah menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam perang saudara selama 26 tahun. Bersenjatakan beberapa laras senapang, puak penentang yang tidak bersyukur ini telah mengakibatkan kemusnahan besar-besaran. Berpunca dari ketamakan puak-puak minoriti dan disogok dengan bantuan persenjataan dan kewangan, ratusan ribu nyawa telah terkorban. Pembangunan negara bukan sahaja terbantut malah berundur puluhan tahun kebelakang.

Segala usaha pembangunan telah terkubur begitu sahaja. Sungguhpun pada awalnya kebangkitan-kebangkitan ini seolah-olah diakibatkan oleh sifat nasionalisme atau hak asasi manusia, namun, hakikatnya sangat berbeza. Tiada apa-apa hasil daripada ‘perjuangan’ ini melainkan kacau-bilau yang terjadi.

Sehingga ke hari ini, ramai antara mereka yang masih kebal daripada hukuman undang-undang dunia. Ramai pencabul hak asasi manusia masih bebas bergerak sesuka hati dan lebihan senjata menjadi punca peperangan baru di negara-negara lain. Isu ‘kebangkitan’ puak minoriti yang kononnya mahukan hak mereka dipertahankan, tetapi hakikatnya usaha ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka semata-mata.

Comments