Home Antarabangsa Amnesty International puji usaha berterusan Malaysia bantu Rohingya

Amnesty International puji usaha berterusan Malaysia bantu Rohingya

SHARE

Badan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International – Australia memuji bantuan berterusan Malaysia terhadap pelarian Rohingya yang berlindung di sini, di saat konflik di Rakhine, Myanmar kembali tegang saat ini.

Penyelaras Amnesty International – Australia Graham Thom antara lain membangkitkan usaha kerajaan Malaysia menyediakan pekerjaan yang sah dan menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bertentangan dengan pendirian kerajaan Malaysia yang menyatakan negara tidak mampu memenuhi piawaian antarabangsa berhubung hak pelarian, Thom berkata sebenarnya “agak mudah” bagi Malaysia untuk menjadi penandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Agak mudah bagi Malaysia untuk memenuhi syarat konvensyen,” katanya kepada pemberita di pejabat Amnesty International – Australia di Sydney, semalam.

Pada Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, Malaysia tidak berniat untuk menjadi penandatangan Konvensyen UNHCR kerana ia membuatkan kerajaan tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya berhubung isu pelarian.

Sediakan hak perundangan

Sejak itu, Malaysia masih belum menyahut seruan antarabangsa agar menandatangai konvensyen itu.

Merujuk pendekatan Malaysia berhubung pelarian ketika ini, Thom berkata antara isu yang perlu ditangani segera adalah memberikan hak perundangan kepada semua pelarian.

“Selepas (Malaysia) mewujudkan kad (untuk pelarian) yang difahami polis dan pihak lain, yang memberikan perlindungan kepada pelarian pada tahap tertentu, saya fikir langkah seterusnya adalah memberikan hak perundangan kepada mereka,” katanya.

Pada masa lalu, wujud kebimbangan apabila pelarian yang mendapat kad UNHCR tetap menjadi mangsa dibuli pihak berkuasa serta berhadapan risiko ditangkap Jabatan Imigresen ketika operasi menahan pendatang tanpa izin.

“Saya tidak fikir Malaysia terlalu jauh ketinggalan dengan syarat yang ditetapkan konvensyen dan Malaysia boleh memenuhi syarat itu dengan pantas, jika mereka mahu.

“Sekali lagi, ia bergantung kepada kepimpinan,” katanya ketika diminta mengulas pendirian Malaysia yang enggan menjadi sebahagian daripada konvensyen UNHCR, pada masa sama tetap meneruskan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya dan Syria.

“Tentulah hebat jika Malaysia menandatangani konvensyen itu, namun mereka boleh melaksanakan beberapa perkara lain sebelum itu, yang saya fikir penting khususnya kepada Rohingya,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments