Home Antarabangsa Amerika Syarikat kecam serangan ganas di Istanbul

Amerika Syarikat kecam serangan ganas di Istanbul

SHARE
ANGGOTA polis mengawal ketat di sekitar lokasi kejadian. - Foto EPA

WASHINGTON: Rumah Putih hari ini mengutuk serangan ganas yang ‘mengerikan’ dua lelaki bersenjata di Istanbul hingga mengorbankan 35 orang dan mencederakan 40 yang lain ketika mereka meraikan tahun baharu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Ned Price dalam satu kenyataan berkata, Amerika Syarikat (AS) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang mengerikan di sebuah kelab malam Istanbul, Turki yang menyebabkan puluhan mati dan ramai cedera.

“Kekejaman dilakukan terhadap orang ramai yang tidak bersalah ketika mereka berpesta meraikan sambutan tahun baharu, jelas menunjukkan kekejaman penyerang,” katanya. Kata Price lagi, Amerika Syarikat mengesahkan sokongan kepada Turki yang juga sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam menentukan bersama untuk berdepan dan mengalahkan segala bentuk keganasan.

Menurut laporan pihak berkuasa tempatan Istanbul, serangan pada pembukaan tahun 2017 itu dilakukan dua lelaki berpakaian ala Santa Claus yang menembak mati seorang anggota polis dan orang ramai di pintu masuk Kelab Malam Reina, di sebuah bandar yang menjadi lokasi pusat hiburan terkenal sebelum melepaskan tembakan secara rambang di dalam kelab itu. Menurut laporan televisyen NTV kebanyakan pengunjung kelab malam terjun ke Selat Basphorus kerana panik selepas serangan dan pasukan keselamatan berusaha menyelamat mereka. – AFP

Berita Harian

 

Comments