Home Tempatan Amerika bukan negara hebat

Amerika bukan negara hebat

SHARE

SEJAK tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak membenarkan kemasukan rakyat dari 7 negara Islam, ramai termasuk orang Islam dan bukan Islam membantah tindakan itu. Benarkah Amerika sebuah negara hebat yang diidamkan seperti dalam filem mereka?

Jika dilihat dari segi kebebasan dan pendemokrasian, negara Barat lain lebih terbuka dibandingkan Amerika, misalnya Kanada, Belgium dan sebagainya.

Malahan jika ditinjau kehebatan teknologi, negara seperti China, Jepun, Korea dan sebagainya jauh lebih maju dan hebat. Ini menunjukkan Amerika sebenarnya tidak mampu menyelesaikan permasalahan rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya. Jika dilihat ekonomi dunia hari ini, China dan India semakin berkembang dan jauh mengatasi ekonomi Amerika.

Malah dijangka dalam masa sedekad akan datang, China akan mengatasi Amerika dari segi penguasaan ekonomi dunia.

Amerika sebenarnya jauh lebih teruk dari Malaysia dari segi permasalahan sosiobudaya. Budaya liberalisme merosakkan sebahagian kehidupan berakhlak dan moral rakyat Amerika. Lihatlah masalah penagihan dadah di Amerika. Pada 2013, dianggarkan dalam kalangan mereka berumur antara 12 tahun ke atas berjumlah 24.6 juta atau 9.4 peratus rakyat Amerika terlibat penagihan dadah. Berbanding  data tahun 2002, 8.3 peratus.

Ini menunjukkan peningkatan yang tiada henti. Malah masalah jenayah pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia di Amerika menunjukkan terdapat 4.5 orang dibunuh setiap hari dalam 100,000 orang dan 367.9 jenayah keganasan berlaku, di mana berlakunya jaringan wabak dadah maka akan melibatkan keganasan jenayah. Kawasan yang sering kali jenayah keganasan dan dadah menguasai, turut melibatkan faktor kemiskinan.

Permasalahan kemiskinan di Amerika juga sebenarnya jauh lebih teruk daripada Malaysia. Sejumlah 45 juta rakyat Amerika atau 14.5 peratus  hidup di bawah kemiskinan tegar. Peningkatan kemiskinan tegar di Amerika turut melibatkan 21.8 peratus  kanak-kanak Amerika berumur 18 tahun ke bawah.

Golongan kanak-kanak ini selalunya dieksploitasi pihak  terlibat dengan jenayah dadah, pelacuran dan pembunuh upahan. Permasalahan kemiskinan ini menyebabkan bantuan kewangan sama seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diberikan setiap tahun termasuklah tempat tinggal dan makanan. Ini menyebabkan ketagihan rakyat Amerika ke atas penyediaan bantuan kewangan ini.

Akibatnya sebahagian rakyat Amerika menjadi malas bekerja kerana bergantung kepada bantuan kewangan ini.

Jangan anda terkejut apabila dinyatakan terdapat sejuta pelacur generasi Y di Amerika. Ini tidak termasuk pelacur generasi X dan sebelumnya. Jika dijumlahkan melebihi 10 juta orang. Pelacuran menjadi kerjaya sambilan yang semakin berleluasa di alam maya. Sebahagian pelacur ini turut terlibat penagihan dadah.

Seramai 204 kematian pelacur setiap tahun akibat daripada penyalahgunaan dadah dan keganasan seks. Dalam satu kajian menunjukkan 61 peratus rakyat Amerika bersetuju dengan kelahiran anak luar nikah akibat daripada hubungan yang tidak berteraskan perkahwinan.

Maka, 72 peratus kelahiran bayi rakyat Afrika Amerika, 53 peratus  rakyat Hispanik Amerika, 66 peratus rakyat Indian Amerika atau penduduk asal Amerika dan 29 peratus kelahiran bayi rakyat kulit putih Amerika adalah anak luar nikah pada statistik kelahiran rakyat Amerika 2013. Ini menunjukkan fenomena anak luar nikah satu norma diterima dalam budaya Amerika.

Trump mengiktiraf hak LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dua minggu lalu. Ini disebabkan 3.5 peratus rakyat Amerika adalah golongan ini yang memberi sokongan kepadanya. Bayangkan terdapat 1.2 juta penghidap HIV dan dianggarkan seramai 40,630 orang dijangkiti HIV setiap tahun di Amerika. Malahan kematian HIV dan Aids di Amerika seramai 12,960 setiap tahun dan kadar ini menunjukkan peningkatan walaupun berbagai rawatan digunakan untuk merawat mereka. Adakah kehidupan sebegini diimpikan mereka yang menganggap Amerika sebuah negara hebat?

Tindakan Trump yang kurang suka pada Islam menyebabkan ribuan rakyat Amerika mendekati masjid untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam. Ada seramai 3.3 juta rakyat Islam Amerika tahun 2015 berbanding 2.75 juta tahun 2011 – peningkatan mereka yang memeluk Islam semakin ramai. Ini disebabkan 22.8 peratus penduduk rakyat Amerika tidak beragama dan 70.6 peratus penduduk rakyat Amerika yang beragama Kristian menunjukkan minat mendalam kepada Islam sejak peristiwa 11 September 2011.

Memang tidak dapat dinafikan kehebatan Amerika sebenarnya berada pada idea kepimpinan tetapi jika tidak dihayati, kehebatan itu hanya sekadar ucapan di bibir. Mungkin terdapat hikmah di sebalik tindakan ini yang menyebabkan lebih ramai rakyat Amerika memeluk dan mengenali Islam secara dekat.

Sinar Online

Comments