Home Tempatan Amerika Biadab, Tidak Hormat Undang-Undang Antarabangsa – YADIM

Amerika Biadab, Tidak Hormat Undang-Undang Antarabangsa – YADIM

SHARE

Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyifatkan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadikan bandar Palestin, Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sebagai sangat biadap dan tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad berkata keadaan itu sebenarnya akan menjadikan rantau berkenaan bertambah tegang dan langsung tidak memberi impak positif kepada usaha-usaha perdamaian yang diusaha banyak pihak selama ini.

“Apa yang jelas, pengisytiharan itu tidak dipersetujui oleh semua pihak termasuk para pemimpin negara-negara Eropah kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, dan tentu sahaja mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia,” kata beliau.

Menurut Dr Yusri lagi, status Baitulmuqaddis seharusnya tidak ditentukan oleh sesebuah negara itu sahaja, sebaliknya Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia perlu melihat semua aspek dalam membuat keputusan tersebut termasuk dari soal keselamatan dan persetujuan dari semua pihak yang terlibat.

Justeru itu, YADIM menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersatu dan bersolidariti dalam menghadapi isu Baitulmuqaddis dan berdoa demi kesejahteraan Palestin.

Beliau menambah, Baitulmuqaddis adalah sebuah kawasan yang suci dan istimewa untuk penganut Islam, Yahudi dan Kristian. Oleh itu, ia perlu dikekalkan sebagai sebuah kawasan yang aman dan terhindar daripada isu-isu yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan.

Comments