Home Antarabangsa American Road zalimi Palestin

American Road zalimi Palestin

Rejim Zionis roboh rumah penduduk Palestin untuk pembinaan jalan raya

SHARE
KIRA-KIRA 500 penduduk Palestin bakal kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka dirobohkan oleh Israel untuk pembinaan jalan raya di Baitulmaqdis Timur. - Sumber www.aljazeera.com

BAITULMAQDIS 21 Feb. – Kira-kira 500 penduduk Palestin di Jabal al-Mu­kaber, Baitulmaqdis Timur kini hidup dalam kebimbangan dan ketakutan apabila pihak berkuasa Israel memulakan kerja-kerja pembinaan jalan raya yang dikenali ‘American Road’, sebuah projek yang menyaksikan kediaman mereka bakal dirobohkan.

Portal Al-Jazeera melaporkan, jalan raya yang merupakan sebahagian daripada rangkai­an lebuh raya utama al-Touq itu melalui kawasan Baitulmaqdis Barat dan Baitulmaqdis Timur dipercayai mahu menghubungkan penempatan haram Yahudi di utara, selatan dan timur bandar tersebut.

Laluan itu juga akan menghubungkan penempatan haram Yahudi Har Homa dan Maale Adumim di Tebing Barat melalui Baitulmaqdis.

Ketika ini, pembinaan projek berkenaan sudah dimulakan di kawasan perumahan Salaa, Jabal al-Mukaber sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kala­ngan penduduk di daerah itu.

Seorang penduduk Salaa, Mohammad al-Sawahra berkata, mereka kini hidup dalam ketakutan selepas mendapat notis me­ngosongkan rumah kerana langkah itu menjadikan penduduk hidup dalam ‘dua dunia berbeza’.

“Di kawasan-kawasan Palestin, kami seperti hidup dalam dunia ketiga, sementara penduduk Yahudi yang tinggal di penempatan haram nanti, mereka ditawarkan kehidupan yang selesa seperti negara maju,” katanya.

Jawatankuasa Pembinaan dan Peranca­ngan Perbandaran Israel memperkenalkan ‘Skim al-Touq’ di Baitulmaqdis sejak sedekad lalu yang akan dihubungkan dengan lebuh raya sepanjang 11 kilometer itu.

Bagi me­laksanakan pembinaan jalan raya itu, rejim Zionis akan merampas kira-kira 121 hektar tanah di 12 kawasan perumahan penduduk Palestin dalam kawasan Jabal al-Mukaber.

Dalam pada itu, peguam bagi Jawatankuasa Pertahanan Jabal al-Mukaber, Raed Basheer berkata, kira-kira 57 buah rumah melibatkan 500 penduduk Palestin akan dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek terbabit.

“Kami terkejut mendapat tahu projek jalan raya selebar 32 meter dengan tambahan 32 meter pada bahagian bahu jalan itu akan dijalankan. Kesemua premis tidak mengira lama dan baharu yang berada di sepanjang laluan jalan akan dimusnahkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai tindak balas terhadap ranca­ngan itu, pihaknya mengadakan pertemuan dengan pihak perbandaran Israel di Baitulmaqdis dan berjaya mendapatkan persetujuan untuk menangguhkan perintah meroboh rumah penduduk untuk lima tahun lagi.

Namun katanya, penduduk perlu mengemukakan permohonan pada setiap tahun untuk melanjutkan perintah itu.

“Untuk itu kami masih tidak pasti sama ada akan terus dibenarkan menetap di kawasan tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, peguam di Pusat Perundangan Adalah di Haifa, Suhad Bishara berkata, peta bagi pelan pembangunan projek me­nunjukkan jalan raya itu hanya akan bermanfaat kepada penduduk dan penempatan Israel.

“Rancangan ini akan menghapuskan semua jalan raya yang menghubungkan kawasan-kawasan perumahan Palestin di Baitulmaqdis serta mengubah kawasan itu menjadi ‘pulau’.

“Ini menjadikan perumahan Palestin di Baitulmaqdis secara geografi dan ekonominya terputus sekali gus menyukarkan penduduk pergi ke sekolah dan pusat-pusat kesihatan,” tegasnya.

utusan online

Comments