Home Antarabangsa Ambulans Malaysia dihantar ke Syria minggu depan

Ambulans Malaysia dihantar ke Syria minggu depan

SHARE

VLADAYA, Bulgaria: Semua 87 ambulans dihantar ke sini melalui konvoi perpaduan dari United Kingdom (UK) dijangka dibawa masuk ke Syria minggu depan.

Ia bergantung kepada proses dokumentasi di Turki dan juga proses baik pulih tujuh ambulans yang mengalami kerosakan.

Ini termasuk tujuh ambulans yang ditaja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.

Koordinator dari Malaysian Life Line For Syria (MLLFS), Muaz Ruslan, berkata semua ambulans kini disimpan di gudang zon perdagangan bebas di Svilengrad, Bulgaria.

Katanya, ambulans terbabit akan diperiksa pihak berkuasa Bulgaria dan Turki sebelum dibawa masuk ke Syria.

“Kita jangka semua ambulans, termasuk tujuh yang perlu dibaiki dibawa masuk ke Syria dalam tempoh seminggu.

“Urusan dokumentasi dan pemeriksaan rapi ambulans yang kini di Svilengrad masih berjalan,” katanya kepada BH di sini.

Sukarelawan konvoi ambulans diterajui Human Aid UK tiba di sini awal Sabtu lalu, selepas 2,700 kilometer perjalanan darat dari UK, Perancis, Itali, Greece dan Bulgaria.

Konvoi itu disertai 200 sukarelawan antarabangsa, termasuk 20 dari Malaysia yang antara lain NGOMalaysian Life Line For Syria (MLLFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ).

Konvoi turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS, Syahrir Azfar Saleh; Presiden MVM, Muhammad Jantan dan Presiden TSDBJ, Musa Al-Nuwayri.

Berita Harian

Comments