Home Tempatan Ambil serius teguran Sultan Perak

Ambil serius teguran Sultan Perak

SHARE
Sultan Nazrin Shah

KANGAR – Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) berharap orang Melayu di negara ini memberi perhatian serius terhadap  teguran Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung sikap sesetengah daripada mereka yang mudah lupa diri.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Zain Hamzah berkata, orang Melayi perlu mengambil langkah bersesuaian ke arah memupuk kesedaran dalam kalangan bangsa sendiri.

“Memang betul dalam kalangan Melayu semakin ramai yang mudah lupa diri sedangkan baru sahaja menikmati kejayaan kecil. Sikap ini amat mengecewakan dan berupaya meletakkan generasi Melayu dalam keadaan tidak baik.

“Orang Melayu seharusnya lebih serius meningkatkan kualiti bangsa sendiri tanpa mudah berpuas hati dengan apa yang ada sekarang,” katanya kepada Bernama.

Mohd Zain mengulas teguran Sultan Perak semasa berangkat merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam’ anjuran Jabatan Mufti Perak dan kerajaan negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh, baru-baru ini.

Dalam titah baginda, Sultan Perak mengingatkan orang Melayu supaya tidak mengambil ringan perbuatan salah laku kerana perbuatan sedemikian laksana anai-anai yang boleh meruntuhkan sesuatu binaan yang asalnya kukuh.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata jika orang Melayu terus leka dengan sikap tamak serta dengki sesama sendiri, mereka akan jauh ketinggalan dalam segala aspek berbanding kaum lain.

“Kita jangan menjadi bangsa yang lupa daratan kerana perjuangan bangsa Melayu masih jauh dan penuh cabaran untuk sampai ke tahap yang selesa dan kukuh,” katanya yang turut mengingatkan Melayu agar membaiki diri dan tidak hidup seperti dijajah di negara sendiri. – Bernama

Sinar Online

Comments