Home Tempatan AMANAH Tidak Amanah

AMANAH Tidak Amanah

SHARE

Sintok, Kedah: Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyelar sikap Parti Amanah Negara (PAN) kerana hanya untuk kepentingan politik, sanggup memperdayakan orang ramai dengan dakwaan bahawa perjuangan PAN adalah kesinambungan perjuangan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).

Dr Kamarul Zaman Yusoff mengemukakan pandangan sedemikian di laman Facebooknya baru-baru ini, sebagai respon berkenaan polemik penganjuran ‘Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat’ oleh PAN yang akan dianjurkan pada 19hb April depan.

Beliau berkata, “salah satu cara paling mudah untuk mengetahui sama ada perjuangan Amanah adalah penerusan perjuangan TGNA ialah dengan membandingkan sudut pandang kedua-dua pihak dalam salah satu isu semasa di negara ini, iaitu isu rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).”

Dr Kamarul Zaman Yusoff mendedahkan bahawa Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah menyatakan betapa wajibnya bagi kesemua Ahli Parlimen yang beragama Islam untuk menyokong RUU 355, namun PAN secara terang-terangan berulang kali mengeluarkan kenyataan menentang RUU 355 yang sedang dibawa oleh PAS, meskipun setelah Mufti Kuala Lumpur mengemukakan pandangan yang sama dengan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, “Dilaporkan dalam media massa bahawa TGNA menyebut pada 11 April 2014 mengenai betapa semua Ahli Parlimen yang beragama Islam wajib menyokong RUU 355 ini. Inilah juga yang disebut kemudiannya oleh Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.”

“Malangnya, apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menyebut perkara sama yang disebut oleh TGNA, serta merta Amanah melalui Naib Presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, mempersoalkan kenyataan ini,” tambahnya lagi.

Menurut Dr Kamarul Zaman Yusoff, PAN bukan sahaja menunjukkan penentangan terhadap pandangan yang dikeluarkan oleh Mufti Kuala Lumpur yang selari dengan pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, malah PAN juga mendakwa usaha memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, pula mempersoalkan terus tindakan PAS mengemukakan RUU 355 ini dengan menyatakan ia tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat ibarat tindakan seorang doktor yang salah membuat diagnosis penyakit,” dia berkata.

“Jadi, di manakah samanya perjuangan Amanah dengan perjuangan TGNA?”, soalnya.

Beliau juga menasihati agar PAN bersikap jujur dalam penganjuran seminar mengenai mana-mana tokoh tanpa diselitkan sebarang tujuan yang terselindung, memandangkan mereka telah memilih perkataan ‘Amanah’ sebagai nama parti.

“Mengadakan seminar mengenai mana-mana tokoh itu adalah tidak salah tetapi penganjurnya mestilah ikhlas tanpa ada tujuan terselindung lain. Perbincangan mestilah menyeluruh bukan hanya mengambil secara terpilih aspek tertentu untuk disesuaikan dengan perjuangan kita. Panel pembentang mestilah mereka yang berwibawa tanpa terikat dengan kepentingan kepartian tertentu. Jika ini tidak berlaku maka tidak sesuailah nama Amanah digunakan sebagai nama parti,” nasihat beliau.

Comments