Home Tempatan Amanah persoal kaedah PAS guna rangka RUU 355

Amanah persoal kaedah PAS guna rangka RUU 355

Khalid Samad menggesa PAS menjelaskan kaedah digunakan terhadap penambahan hukuman dalam pindaan RUU 355 dicadangkan.

SHARE

PETALING JAYA: Amanah mencabar PAS menerangkan metode juridikal yang digunakan terhadap hukuman ditetapkan dalam cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Bercakap kepada FMT, Ketua Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata PAS masih belum menjawab soalan sukar dengan mengambil kira prinsip undang-undang yang perlu dilakukan apabila merangka RUU.

RUU itu bertujuan menaikkan penalti maksimum bagi kesalahan syariah kepada tempoh 30 tahun bagi hukuman penjara, RM100,000 denda dan 100 sebatan berbanding 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 sebatan.

“Tiada siapa tahu bagaimana mereka memperkenalkan hukuman itu,” kata Khalid. “Apabila seseorang mencadangkan hukuman, perlu ada beberapa asas melakukannya.

“Bayangkan jika seseorang melakukan kesilapan kecil dan dipenjarakan sehingga 30 tahun. PAS perlu menjelaskan kepada rakyat kaedah digunakan bagi menjatuhkan hukuman ini. ”

Khalid turut mempersoalkan kesahihan dakwaan PAS yang RUU itu mendapat sokongan di kalangan bukan Islam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Man baru-baru ini berkata usaha presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan RUU kepada orang bukan Islam mula menunjukkan hasil.

Sambil menafikan kenyataan Tuan Ibrahim, Khalid berkata pemimpin PAS “perlu berterus-terang. Pada mulanya mereka berkata orang bukan Islam tidak perlu campur tangan. Kini mereka berkata lebih ramai bukan Islam menyokong rang undang-undang itu.”

Presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shan berkata organisasinya tidak berubah pendirian terhadap rang undang-undang itu.

“PAS berkata ia tidak terpakai kepada bukan Islam,” katanya. “Tetapi kita tidak boleh ambil mudah dakwaan beliau itu.”

Mohan berkata, kenyataan yang serupa pernah dibuat mengenai hak ibu bapa bukan Islam terhadap penjagaan anak dalam kes perceraian yang melibatkan ibu bapa memeluk agama Islam. Beliau berkata ia tidak dibuktikan dalam beberapa kes baru-baru ini.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker berkata PAS mengelirukan orang ramai dengan menyatakan lebih ramai bukan Islam menyokong pindaan.

“Mereka mesti sudah berbincang dengan beberapa individu yang menyokong mereka,” katanya. “Golongan menentang daripada bukan Islam adalah jelas,” katanya.

Beliau berkata terdapat banyak bahagian tidak jelas dalam rang undang-undang. “Sebagai contoh, apakah peruntukan jika bukan Islam menjadi mangsa kepada orang Islam? Di mana akan kes itu didengar?”

Free Malaysia Today

Comments