Home Uncategorized Amal konsep Tabayyun sebelum sebar maklumat

Amal konsep Tabayyun sebelum sebar maklumat

SHARE

KUALA LUMPUR – “Prinsip Tabayyun iaitu sikap semak atau periksa sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum sebar perlu diamalkan oleh setiap pengguna apabila menerima sesuatu maklumat di laman media sosial,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, pada masa ini banyak maklumat dikongsikan oleh pengguna media sosial sehingga tular namun pada akhirnya maklumat itu didapati bukan sahaja palsu malah mengelirukan.

“Berita-berita palsu ini juga boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara. Menyemak kesahihan berita adalah sangat penting sebelum menyebarkannya, pastikan ia daripada sumber yang diyakini sahih, jika tidak pasti jangan kongsi.

“Menyebarkan berita palsu dan fitnah amat mudah tetapi bila kita tahu silapnya kemudian, maka sukar bagi kita untuk mengesan punca, menjangka penyebarannya dan bagaimana hendak menghentikannya,” katanya ketika merasmikan Seminar Program #Negaraku: Seminar Media Sosial 2017, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Seminar sehari itu yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertujuan mewujudkan generasi warga digital berminda kelas pertama yang mengamalkan etika penggunaan Internet secara selamat, berwaspada dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut menyarankan ibu bapa supaya mengamalkan sikap keprihatinan yang tinggi mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak mereka.

Katanya, ini kerana sikap keterbukaan ibu bapa tanpa sempadan boleh mengundang kepada gejala tidak bermoral oleh kanak-kanak seperti mengakses laman-laman web pornografi atau menjadi mangsa kepada jenayah pedofilia.

“Kita lihat anak-anak muda seawal usia 12 tahun tanpa segan silu memuat naik gambar-gambar seksi di media sosial untuk tontonan umum yang membuka jalan kepada kejadian tidak diingini,” katanya.

Sinar Online

Comments