Home Tempatan Alhamdulillah, Mak Nyah Semakin Diterima di Malaysia – Nisha Ayub

Alhamdulillah, Mak Nyah Semakin Diterima di Malaysia – Nisha Ayub

SHARE

KUALA LUMPUR: Aktivis Transgender, Nisha Ayub bersyukur kerana golongan transgender kini semakin diterima oleh rakyat Malaysia yang semakin berfikiran terbuka.

“Alhamdulillah, golongan transgender yang sebelum ini dipandang negatif oleh masyarakat Malaysia kini sudah semakin boleh diterima oleh segelintir rakyatnya yang semakin berfikiran terbuka,” katanya yang bakal menyambut Hari lahirnya pada 5 April ini. 5 April turut diangkat sebagai hari Nisha Ayub di San Diego, Amerika Syarikat pada setiap tahun.

Beliau yang pernah menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas keberaniannya memperjuangkan isu transgender walaupun berdepan ancaman daripada pihak berkuasa merasa agak terkilan kerana golongan transgender belum sepenuhnya diterima di Malaysia.

“Sudah tentu saya terkilan sebab di AS kita diterima sebagai seorang transgender dan tidak tertindas tetapi apabila pulang ke Malaysia kita kurang diterima.”

“Tetapi Nisha masih rasa diterima oleh keluarga, rakan-rakan dan segelintir masyarakat di sini,” tambahnya.

Nisha yang juga merupakan pengasas bersama bagi dua NGO untuk kebajikan dan kesedaran transgender, SEED dan Justice for Sisters itu merupakan individu transgender pertama yang diiktiraf dengan anugerah tersebut.

“Ia merupakan saat paling manis untuk saya apabila Datuk Bandar San Diego di California, Kevin L Faulconer, secara rasminya menobatkan 5 April sebagai Hari Nisha Ayub, di San Diego.”

“Saya seperti tidak percaya, ini adalah mimpi indah untuk saya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya tidak memohon apa-apa hak keistimewaan yang khusus tetapi cuma memohon hak samarata sahaja supaya komuniti makyah ini diterima sebagai salah satu golongan di Malaysia dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa di negara sendiri.

Selain daripada itu, Nisha juga diiktiraf dengan dua buah anugerah antarabangsa iaitu Anugerah Asia LGBT Milestone dan satu lagi daripada Human Rights Watch pada tahun lepas.

“Terima kasih kepada kerajaan AS kerana membina platfom untuk saya menyokong hak transgender dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong saya hingga saya berada di sini,” tambah beliau.

Menurut beliau, seperti umum sedia maklum, sepatutnya tahun ini beliau akan ke AS bagi sambutan Hari Nisha Ayub tetapi selepas perlantikan Presiden Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat dan dasar anti Muslim dan LGBT yang diambil, nampaknya ianya terpaksa dibatalkan.

“Jadi tahun ini kemungkinan kita akan sambut di Malaysia sahaja, kerana kebetulan Hari Nisha Ayub adalah hari ulang tahun kelahiran  saya,” katanya.

Comments