Home Antarabangsa Algeria didakwa usir warga Syria

Algeria didakwa usir warga Syria

SHARE
Getty Image

RABAT: Maghribi mendakwa Algeria mengusir 55 rakyat Syria yang menyeberangi sempadan kedua-dua negara dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Dakwaan itu adalah pertelingkahan terbaru membabitkan dua negara Afrika Utara berkenaan.

“Warga Syria itu dihantar menyeberangi sempadan berhampiran Figuig,” kata Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa Maghribi, rakyat Syria yang terdiri daripada beberapa kumpulan tiba di bandar berkenaan selepas menempuh perjalanan sukar, sebelum dikepung oleh polis Algeria.

Berikutan itu, Rabat mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan jirannya terhadap pendatang, termasuk wanita dan kanak-kanak ketika berada dalam keadaan yang lemah.

“Pengusiran itu bercanggah dengan amalan semangat kejiranan Maghribi,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Figuig berkata, sehingga semalam, warga Syria terbabit masih terkandas di kawasan sempadan tanpa bekalan air dan makanan. Kawasan sempadan itu ditutup sejak 1994. – AFP

Berita Harian

Comments