Home Tempatan “Al-Quran jawab Setiap Persoalan Saya”: Bro Kamaruddin

“Al-Quran jawab Setiap Persoalan Saya”: Bro Kamaruddin

SHARE
Kamaruddin

“Kunci hidayah itu milik ALLAH, bukan milik kita. Tetapi kunci usaha milik kita selagi mampu”

KATA-KATA inilah yang memberinya motivasi setiap kali melakukan kerja dakwah kepada masyarakat. Baginya hidayah itu milik ALLAH SWT, namun sebagai hamba kita tidak boleh menunggu hidayah itu datang. Hidayah itu perlu dicari!

Usaha dan doa membolehkan anak kelahiran Pulau Mutiara ini menggapai cinta ALLAH. Dia dipilih ALLAH menerima hidayah-Nya. Setelah 27 tahun memeluk Islam, beliau istiqamah dalam memperjuangkan dakwah Islam kepada Muslim dan juga kepada bukan Muslim.

Kamaruddin Abdullah, namanya mungkin tidak dikenali ramai, tidaklah sehebat pendakwah terkenal tanah air. Tetapi bagi mereka yang tinggal dan menetap di utara tanah air terutamanya di Pulau pinang tentu sekali mengenali figura yang banyak jasanya kepada Islam ini. Beliau sering menyampaikan ceramah agama, terkenal dalam menjalankan kerja dakwah, dan mengadakan aktiviti berunsur kerohanian.

Surah Al-Ikhlas jentik hati terima Islam

Mengimbas kembali kisah pengislamannya, ia bermula ketika beliau mencari jawapan kepada pertanyaan mengenai kehidupan seorang manusia. Beliau sering bertanya siapakah yang menciptanya? Apakah matlamat hidupnya? Akhirnya beliau menemui semua jawapan ini setelah membaca tafsir al-Quran.  Surah pertama yang menjentik hati untuk menerima Islam, adalah Surah Al-Ikhlas.

“Saya dilahirkan dalam agama Kristian bermazhab Roman Katolik pada tahun 1968. Keluarga saya penganut kuat agama Kristian, terutamanya bapa dan nenek. Sejak kecil lagi, saya sudah dihantar ke gereja untuk belajar dan memahaminya. Tetapi dalam hati, masih mencari sesuatu. Saya mencari satu kepastian dan mencari tuhan dalam beragama.

“Dengan hidayah dan kasih sayang ALLAH, kakak sulung saya hadiahkan senaskhah al-Quran dalam bahasa Melayu. Dan kemuncaknya, saya bertanya banyak soalan. Terutamanya siapakah pencipta saya, apakah matlamat hidup saya, kenapa saya perlu lalui semua kesusahan dan kegembiraan? Semua jawapan ini saya temuinya dalam al-Quran. Dan surah pertama yang menyentuh hati saya dan minda saya adalah Surah Al-Ikhlas.

Empat ayat yang cantik menjawab pencarian saya selama ini. Saya pernah mencari jawapan dalam agama Kristian, hindu Buddha dan Yahudi. Saya kaji semua agama itu tetapi tidak menjumpai jawapannya,” jelasnya yang senang membahasakan dirinya Bro Kamaruddin.

ALLAH berfirman: “Dengan nama ALLAH Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa; “ALLAH Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Dia tiada beranak, dan tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.” Menurut beliau, ayat inilah yang paling indah, dan memberi kesan dalam diri. ALLAH adalah Tuhan Yang Maha Penyayang dan Pengasih. Kasih sayang ALLAH mengatasi segala-galanya. Itulah yang dicari. Hati kosong ini mencari kasih sayang ALLAH.

Katanya lagi, alhamdulillah, tanggal 1988, dia mengucapkan dua kalimah syahadah, agama yang begitu benar, sempurna dan memang sesuai dengan jiwanya berbanding dengan agama lain. Sesuai bukan bermaksud ia nafsu, tetapi sesuai dengan kefahaman dan jiwa. Syukur alhamdulillah!

Cabaran muallaf

Apa yang membuatkan penulis berasa kagum, adalah kerana ketabahannya dalam menghadapi cabaran sebagai mualaf dalam mencari jawapan kebenaran. Manakan tidak, pengislamannya itu mendapat tentangan hebat daripada bapa dan keluarga sehingga mereka putus hubungan bertahun-tahun lamanya. Namun Bro Kamaruddin menghadapinya dengan tenang dan menganggap ia sebagai  cabaran dalam mencari jalan yang lurus. Beliau juga sentiasa berasakan ALLAH  itu begitu hampir dan tidak membiarkan dirinya keseorangan.

“Awal pengislaman, saya lalui saat sukar. Tetapi alhamdulillah selepas beberapa tahun, semuanya kembali tenang. Dan hari ini saya berada di ambang kekuatan dan keyakinan kerana zaman itu. Saya masih ingat lagi saya pernah dibuang sahabat bukan Muslim .Ketika inilah berlaku pertembungan antara prinsip dan mencari keredaan manusia. Tetapi saya pilih prinsip. Sebab itulah saya perlu bayar dengan harga yang tinggi.

“Saya tidak kisah walaupun ada yang tidak memilih untuk menyokong, saya tetap dengan prinsip yang saya pegang kerana yakin agama yang saya pegang sekarang ini berdasarkan ilmu yang sahih. Dan saya yakin ALLAH itu teman setia,” jelasnya.

Insan istimewa

Ketika ditanya mengenai insan yang banyak memberikannya kekuatan untuk terus bertahan, jawabnya tidak lain dan tidak bukan adalah gurunya, Sheikh Ahmed Deedat.

Gurunya itu banyak memberikannya kekuatan dari segi berdepan dengan cabaran selepas syahadah, kemudian kekusutan dan keraguan tertentu telah dijawab gurunya.

“Sheikh Ahmed Deedat banyak memberi saya motivasi dalam beragama. Dia yang menunjukkan kepada saya bukti kewujudan Nabi Muhammad SAW dan penerangannya itu membuatkan saya bertambah yakin kepada Rasulullah SAW. Guru saya juga antara yang banyak memberikan dorongan kepada saya malah saya pernah bertalaqqi dan belajar dengannya di Afrika pada 2006.

“Tokoh kedua yang banyak membimbing  dan membuka minda saya dengan al-Quran ialah Dr Danial Zainal Abidin. Beliaulah Tok guru saya selama 12 tahun. Saya belajar mengenai al-Quran dan tafsir dengannya. Selain itu Sheikh Hussein Yee, Dr Asri Zainal Abidin dan Bro Shah Kirit juga banyak membantu setiap kali saya hadapi masalah. Saya juga perlu berterima kasih kepada isteri, Siti Sarah yang banyak memberikan bimbingan, dorongan dan sokongan terutamanya apabila saya meletakkan jawatan saya dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)  untuk menjadi daie sepenuh masa. Saya boleh umpamakan beliau sebagai Siti Khadijah zaman kini yang mana dia terus-menerus mendorong saya untuk berdakwah kepada umat Islam,” ceritanya.

Ipsi, sebar dakwah

Hari ini beliau mampu tersenyum lebar kerana atas kesabarannya, ketabahan beliau ketika di awal pengislamannya, ALLAH telah berikan beliau kejayaan demi kejayaan dalam hidup. Setelah menamatkan perkhidmatan di MAS, dan menjadi pendakwah sepenuh masa, beberapa tahun kemudiannya beliau telah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (Ipsi).

Pelbagai program dilakukan ketika menjadi Presiden Ipsi. Antaranya melakukan dakwah kepada yang bukan Muslim melalui Awarenese Through Mosque Tour setiap hari, pemberian al-Quran dan risalah penterjemahan dalam pelbagai bahasa secara percuma, mengajar syahadah kepada yang ingin kembali pada Islam dan banyak lagi.

“Sebenarnya Ipsi ditubuhkan secara rasminya 2004 tetapi bermula sejak 1995 lagi. Tujuan utama pertubuhan Ipsi adalah menyebarkan kalimah ALLAH melalui pembacaan, pemahaman dan perbuatan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Terbaharu, kami melancarkan siri jelajah dakwah agama Islam menerusi projek Road to Alaska. Ia adalah rancangan jangka panjang dalam memberi pengenalan dan penjelasan mengenai Islam kepada masyarakat khususnya golongan bukan Islam bermula dari Pulau Pinang sehinggalah ke Alaska.

“Kita tahu Islam adalah satu agama yang benar, cantik, adil, tetapi tidak difahami kebanyakan manusia (sehingga) Islam dianggap agama keganasan. Kami datang menerangkan Islam yang sebenarnya daripada sumber yang sahih yakni al-Quran dan as-sunnah. Ipsi nak perkenalkan apa itu Islam menurut neraca yang sebenarnya terutama di bumi Malaysia ini,” katanya.

“Sebagai permulaan kami akan pergi rumah ke rumah untuk menyerahkan risalah berhubung agama Islam. Sekurang-kurangnya setiap negara kita boleh sampaikan mesej Islam kepada 100 rumah yang masih belum memeluk Islam. Azam kami 100 rumah setiap negara di dunia sebagai permulaan,” katanya.

Berusaha sebar dakwah

Bro Kamaruddin berharap masyarakat  terus berusaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang belum Islam. Jelasnya lagi, janganlah bersedih atau berputus asa seandainya masih tidak boleh memberikan perubahan kepada mereka kerana hidayah itu milik ALLAH.

“Apa yang membuatkan saya sedih dan pilu adalah, saya tidak berjaya untuk memujuk ayah memeluk Islam. Ayah meninggal dunia sebagai seorang Kristian. Saat itu memang saya sedih tetapi saya reda dengan ketentuan. Bukankah ALLAH berikan hidayah kepada mereka yang Dia pilih?

“Rasulullah SAW sendiri tidak mampu mengislamkan bapa saudaranya, inikan pula kita, manusia biasa yang menjadi penyambung rantai perjuangan Baginda SAW. Namun begitu ALLAH Maha Adil dan Maha Mengetahui. ALLAH tidak melihat kepada natijah daripada apa yang kita lakukan ,sama ada kita berjaya menyedarkan kesilapan orang mahupun membawa orang balik ke pangkal jalan atau apa jua keadaan sekalipun tapi ALLAH melihat sejauh mana usaha dan kesungguhan kita dalam melakukan dakwah ataupun dalam pekerjaan, pelajaran dan sebagainya.” jelasnya.

Sinar Online

 

Comments