Home Tempatan Al-Quran jadi manual kehidupan

Al-Quran jadi manual kehidupan

SHARE
Danial menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Al-Quran Manual Kehidupan' kepada hadirin di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

SHAH ALAM – Al-Quran bukan sahaja perlu dibaca, malah perlu difahami dan dihayati setiap isi kandungannya.

Penulis dan pendakwah bebas, Datuk Dr Daniyal Zainal Abidin berkata, membaca al-Quran dengan tajwid yang betul sahaja meskipun berpahala, belum memadai bagi menjadikan al-Quran itu sebagai manual kehidupan.

“Ia harus dibaca dengan betul, difahami, didalami dan dihayati bagi menjadikan al-Quran itu sebagai petunjuk.

“Namun dalam memahami dan menghayati al-Quran itu tidak boleh secara semberono, perlu dilakukan dengan adab dan  metodologinya. Hukumannya haram jika kita tafsirkan al-Quran itu semata-mata mengikut otak dan akal fikiran.

“Oleh yang demikian, cara yang lebih mudah perlu merujuk kepada kitab tafsir dan terjemahan yang sah,” katanya.

Beliau memberi penekanan itu pada Program Quran dan Sains sempena World Quran Hour 1438 di bangunan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) di sini, yang dipengerusikan, Penerbit dan Pengacara Halaqah, Ahmad Noor Sulaiman, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, Daniyal berkata, mendekatkan diri dengan al-Quran dapat menjadikan kehidupan umat Islam lebih diberkati.

“Jika itu diamalkan, kita akan dapat merasai kehidupan menjadi lebih mudah, masalah dan ujian yang datang juga dapat diatasi dengan tenang,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggalakkan umat Islam untuk menjadikan al-Quran itu asas kepada pegangan kehidupan agar sentiasa berada di landasan yang betul.

Sinar Online

Comments