Home Tempatan Al Quran “Buku Karaoke” – Farouk Peru & Rakan-Rakan

Al Quran “Buku Karaoke” – Farouk Peru & Rakan-Rakan

SHARE

Kuala Lumpur: Kejadian malang yang menimpa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, seorang pelajar sebuah sekolah tahfiz yang didakwa didera sehingga menemui ajal baru-baru ini, sempat dijadikan alasan oleh pihak-pihak yang jelas tidak senang dengan sistem persekolahan pondok dan aliran agama untuk mengkritik keras sistem tersebut.

Terbaru, Farouk A. Peru salah seorang penulis kontroversi, walaupun berada jauh daripada tanahair, telah memuat naik dan berbalas komentar kurang enak berhubung sistem pendidikan tahfiz ke laman media sosial Facebook miliknya. Catatan tersebut kemudiannya disambut dengan beberapa komen yang menghina.

Khasnya sebuah komen yang merujuk kitab al-Qur’an yang dipelajari dan dihafal di sekolah-sekolah tahfiz, oleh pelajar-pelajar tahfiz sebagai “Buku Karaoke”, mendapat sokongan, ‘likes’ dan gelak ketawa yang boleh dilihat melalui komen-komen yang menyusul.

Farouk A. Peru turut bersetuju dengan dakwaan salah seorang kenalan facebooknya itu bahawa al-Qur’an adalah sebuah ‘Buku Karaoke’ bagi pihak sekolah tahfiz sambil mendakwa bahawa agama adalah sebuah perniagaan yang besar.

Beliau menunjukkan sikap sedemikian di laman Facebooknya semalam, dipercayai sebagai respons ke atas insiden menyayat hati yang menimpa pelajar tersebut.

Farouk A. Peru kemudian ditegur oleh seorang netizen yang tidak berpuas hati kerana menurutnya Farouk A. Peru seolah-olah mempamerkan sikap kurang sensitif memperolok-olokkan pembacaan dan penghafazan al-Qur’an.

Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi semasa hayatnya bercita-cita untuk menjadi seorang penghafaz al-Qur’an menurut catatan yang ditulis dan dilekatkan pada al-Qur’an milik beliau ketika mula mendaftar di madrasah tahfiz tersebut.

Catatan tersebut berbunyi, “Saya mahu jadi huffaz (hafiz) dalam masa dua tahun. Saya pasti saya boleh. Kau boleh Thaqif.”

Comments