Home Surat SURAT PEMBACA – AKTIVIS SEKULAR BEBAS AZIRA AZIZ SEMAKIN KE LAUT

SURAT PEMBACA – AKTIVIS SEKULAR BEBAS AZIRA AZIZ SEMAKIN KE LAUT

SHARE

Kenalilah Azira Aziz. Seorang aktivis sekular Bebas. Kumpulan pelopor sekularisme dan kebebasan beragama mutlak inilah yang menganjurkan himpunan menentang RUU355 dua bulan lalu.

Ketika himpunan tersebut, kumpulan Bebas sanjungan Azira ini turut menampilkan figura kesayangan puak-puak liberal, tidak lain tidak bukan, Siti Kassim yang terkenal dengan jari tengah dan getarannya. Selain itu, tokoh liberal dan juga ahli baharu DAP, Zaid Ibrahim dan Boo Su-Lyn seorang kolumnis portal liberal Malay Mail Online yang merupakan seorang atheis.

Tetapi, saya hanya mahu berbicara tentang Azira dan kepincangan beliau dalam memahami konteks negara kita.

Beliau menjadi ‘terkenal’ beberapa hari ini kerana Tweet beliau yang mempersoalkan laungan azan yang beliau dakwa perlu juga mendapatkan pandangan atau kebenaran daripada penduduk setempat, khususnya bukan Islam.

Saya tidak tahu apa masalah Azira sehingga mahu menimbulkan rasa tidak puas hati, prasangka atau lebih teruk permusuhan antara agama dan bangsa kerana saya tidak fikir orang bukan Islam kebanyakannya mempunyai keterencatan minda rasional seperti Azira.

Mereka tidak ada masalah seperti Azira. Bahkan, bukankah Azira seorang Muslimah? Mengapa mahu pertikaikan seruan yang menandakan telah masuknya waktu solat? Mengapa mahu meletakkan kesulitan atau kekangan pada seruan yang mengajak kepada ibadah dan kejayaan?

Azira Aziz semakin ke laut.

Isu garis panduan dan piawaian perancangan negeri Selangor berkenaan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam telah dibawa terbang oleh Azira merentas benua ke negara Switzerland, Perancis dan Israel, termasuk Singapura yang dekat sedikit.

Pertama, dia bangkitkan isu Switzerland mengharamkan kubah dan meletakkan had ketinggian bagi masjid.

Bila saya cuba buat carian di Google, tidak terjumpa sumber yang boleh dipercayai yang mendakwa bahawa Switzerland mengharamkan kubah dan meletakkan had ketinggian bagi masjid.

Yang ada pun, berita oleh New York Times bertarikh 29 November 2009 yang mengatakan bahawa Switzerland telah meluluskan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan. Walaupun mereka kononnya melindungi kebebasan beragama, namun dibawah Artikel 72(3) Perlembagaan Switzerland, pindaan tersebut telah menambah peruntukan bahawa pembinaan menara adalah dilarang.

Mereka berpendapat bahawa menara masjid adalah simbolik kepercayaan agama Islam yang tidak selari dengan sistem perundangan negara. Namun, tanpa menara pun, Islam masih boleh berkembang dan azan masih boleh berkumandang. Not a big issue for us.

Jika dibandingkan dengan Malaysia pula, Perlembagaan kita jelas memperuntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3. Oleh itu, pembinaan menara masjid tidak menjadi masalah sebagai simbolik kepercayaan penganut agama Islam yang majoriti seperti di Malaysia.

Lagipun, garis panduan rumah-rumah ibadat tersebut bukan secara jelas melarang pembinaan kuil Hindu atau Buddha atau Gereja atau mana-mana bahagian daripada rumah-rumah ibadat tersebut.

Oleh itu, perbandingan oleh Azira ini sama sekali tidak wajar.

Kedua, Azira menyebut berkenaan larangan pemakaian tudung wanita di sekolah awam di Perancis dan Singapura.

Ya, kita berpendapat bahawa larangan tersebut adalah tidak wajar. Memetik kata-kata Theresa May, Perdana Menteri United Kingdom yang membela wanita Muslimah di sana yang ingin memakai hijab, “What a woman wears is a woman’s choice”.

Akan tetapi, isu garis panduan ini bukan berkenaan larangan secara mutlak. Boleh rujuk post sebelum ini berkenaan apa sebenarnya yang didakwa sebagai “deemed discriminatory” di link ini.

Ketiga, Azira membangkitkan berkenaan larangan penggunaan pembesar suara untuk masjid rakyat Palestin. Boleh rujuk ulasan saya yang pertama.

Maka, terbuktilah bahawa Azira Aziz ini tahu mengomel saja. Bahkan, Perlembagaan dan sistem perundangan syariah negara kita pun dia tidak faham, lagi mahu samakan dengan India.

Azira cuba mempertikaikan keperlembagaan Mahkamah Syariah.

Azira ada berkongsi satu artikel di page Facebook beliau yang saya kira cuba untuk membuat perbandingan antara Mahkamah Syariah di Malaysia dan India.

Artikel tersebut melaporkan bahawa Mahkamah Agung India telah mengisytiharkan bahawa Mahkamah Syariah di India adalah tidak sah di sisi undang-undang. Dengan harapan bahawa pengikut Azira di Facebook atau mana-mana pembaca perkongsian beliau akan menggarap satu fahaman bahawa boleh jadi Mahkamah Syariah Malaysia juga adalah tidak sah di sisi undang-undang dan boleh dicabar keperlembagaannya.

Namun kasihan, sama seperti Boo Su-Lyn yang hanya tahu membuat rujukan perundangan tetapi tidak mencuba untuk memahami teks dan konteks rujukan yang dibuat.

Pertama, jika bacaan lanjut dibuat tentang penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Agung India itu, ia sebenarnya tidak mengatakan bahawa Mahkamah Syariah India itu tidak sah di sisi undang-undang.

Bahkan, Mahkamah Agung India mengiktiraf peranan Mahkamah Syariah mereka sebagai salah satu alternatif tidak formal bagi tujuan keadilan kepada pihak-pihak yang merujuk kes mereka kepada Mahkamah Syariah di India.

Kedua, Mahkamah Agung India memutuskan bahawa fatwa yang dibuat oleh Mahkamah Syariah di India itu tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan. Hal ini kerana Mahkamah Syariah di India tidak mempunyai pengiktirafan dari sudut perundangan.

Padahal, sistem perundangan Syariah di India sama sekali tidak sama dengan sistem perundangan Syariah di Malaysia.

Mahkamah Syariah di India mengeluarkan fatwa. Namun di Malaysia, kita mempunyai Majlis Fatwa Kebangsaan atau Pejabat Mufti Negeri  yang mengeluarkan fatwa, ditambah pula dengan satu organisasi berbeza dengan bidang kuasa berbeza iaitu Mahkamah Syariah.

Fatwa boleh dikuatkuasakan setelah ia diwartakan dan kemudiannya mengikat umat Islam, berbeza dengan fatwa di India.

Mahkamah Syariah juga turut diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 121(1A) dan Akta Parlimen iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hangat ketika ini. Oleh yang demikian, kedudukan Mahkamah Syariah adalah sah di sisi undang-undang bahkan penghakiman Mahkamah Myariah juga boleh dikuatkuasakan.

Ketiga, boleh difahami bahawa Mahkamah Agung mencapai penghakiman sedemikian kerana India merupakan sebuah negara sekular yang secara jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan India.

Walaubagaimanapun, Perlembagaan Malaysia langsung tidak menyebut tentang sifat kenegaraan samada sekular atau mendukung sekularisme.
Bahkan, Perlembagaan kita mengandungi Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, dan Mahkamah Syariah yang punyai bidang kuasa terhadap orang Islam.

Maka, jelaslah bahawa perbandingan yang cuba dibangkitkan oleh Azira adalah pincang sama sekali! Namun, begitu mudah aktivis Bebas ini mengesampingkan perkara-perkara ini demi matlamat kumpulan pendukung sekularisme beliau.

Apa yang jelas adalah, aktivis sekular Bebas Azira Aziz semakin ke laut.

Danial Ariff bin Shaari merupakan pembaca Menara.my dan artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Menara.my.

Comments