Home Tempatan Aktivis liberal enggan fahami ceramah Dr Zakir

Aktivis liberal enggan fahami ceramah Dr Zakir

SHARE

KUALA LUMPUR: Penentangan berterusan kumpulan aktivis liberal dalam negara ini terhadap pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik mungkin berpunca dari sikap mereka yang gagal memahami dan tidak mengambil peluang untuk bersama dalam majlisnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kehadiran Dr Zakir ke negara ini untuk menyampaikan ceramahnya dibuat selepas mendapat tauliah sementara daripada Pejabat Mufti Negeri dan pihak keselamatan.

Beliau berkata, pendakwah terulung antarabangsa daripada India itu juga tidak langsung menjurus kepada mempromosi perpecahan agama dalam ceramahnya, sebaliknya menumpukan kepada penyatuan sesama penganut agama.

Malah, katanya kerajaan sentiasa memantau penceramah yang datang ke negara ini dan individu itu mesti terlebih dahulu sudah dikenalpasti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mungkin barangkali tanggapan penolakan terhadap Dr Zakir ini, sebab kumpulan ini tidak mendekati atau bersama dalam majlis yang beliau anjurkan.

“Dr Zakir lebih promosi perpaduan dan lebih mengambil pendekatan merujuk kitab semua agama. Hujahnya berdasarkan kitab suci agama lain, mungkin ketidakfahaman menyebabkan mereka menolak beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi bagi menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Bachok-PAS).

Ahmad Marzuk mahu tahu, apakah pendirian kerajaan terhadap bantahan kumpulan aktivis liberal ini terhadap kehadiran Dr Zakir yang menyampaikan ceramahnya di negara ini.

Jamil Khir berkata, kerajaan juga mengambil langkah penerangan terhadap pihak yang mempersoalkan kehadiran penceramah ini kerana ia membabitkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Berita Harian

Comments