Home Tempatan Akta 355 bantu perbaiki sistem sosial umat Islam

Akta 355 bantu perbaiki sistem sosial umat Islam

SHARE
Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz

CYBERJAYA – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu dipinda bagi memperbaiki sistem sosial umat Islam di negara ini, kata Felo Utama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata pindaan itu, yang bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah,  penting agar undang-undang yang diperbaiki dapat saling lengkap melengkapi dengan aspek pendidikan.

“Dalam keadaan semasa, undang-undang berkaitan hukuman diperlukan untuk membantu sistem sosial umat Islam,” katanya pada majlis penerangan media mengenai Akta 355 hari ini.

Turut hadir ialah Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tuan Asmawi Tuan Umar, Timbalan Presiden Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga Malaysia (Jati) Dr Fauzi Shaffie dan anggota Sekretariat Ummat Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid.

Tuan Asmawi pula berkata semua Anggota Parlimen beragama Islam sepatutnya menyokong pindaan Akta 355 supaya ia dapat diluluskan Parlimen demi kesejahteraan umat Islam.

“Jangan kerana hendak menjaga hati penyokong bukan beragama Islam, mereka (Ahli Parlimen Islam) sanggup menolak pindaan ini,” katanya.

Fauzi pula berkata pindaan akta berkenaan dapat mengekang umat Islam daripada terus terjebak dalam industri ‘dosa’ yang bersandar kepada aktiviti maksiat seperti judi dan seks bebas.

Menurutnya beliau bimbang isu itu terus dipolemikkan sebagai usaha untuk membiarkan umat Islam terus melakukan maksiat dan menyumbang kepada dosa yang mengaut keuntungan daripada umat Islam.

Menurutnya usul pindaan itu, yang mahu menaikkan had hukuman, mampu manimbulkan rasa takut dalam kalangan umat Islam untuk melakukan maksiat.

Mahmud Hishamuddin pula berkata pindaan Akta 355 itu bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang ketika ini hanya terhad kepada hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

“Kali terakhir pindaan dibuat ialah 32 tahun dahulu. Isu ini dipolemikkan kerana ia perlu melalui proses Parlimen yang melibatkan parti-parti politik,” katanya.

Pada 24 November lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta 355.

Dalam usul berkenaan, Abdul Hadi berkata pindaan yang ingin dilakukan terhadap akta berkenaan melibatkan hukuman maksimum dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.- Bernama

Sinar Online

Comments