Home Tempatan Akta 355 Baik, Tidak Harus Dipolitikkan – Mujahid Rawa

Akta 355 Baik, Tidak Harus Dipolitikkan – Mujahid Rawa

SHARE

PARIT BUNTAR: Jawatankuasa Khas RUU 355 perlu ditubuhkan dan hendaklah dibentuk merentas kepartian dan inklusif Ahli Parlimen bukan Islam juga, agar proses pemerkasaan Mahkamah Syariah berlaku secara telus kata, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Dato Dr Mujahid Yusof Rawa.
 
Menurutnya, sudah tiba masanya jika isu pentadbiran Islam dan Mahkamah Syariah mahu diperkasakan sebagaimana disarankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam titah Baginda, sayugia pihak Parlimen dapat menubuhkan Jawatankuasa Khas RUU 355 untuk diteliti dan dinilai serta diperincikan secara holistik bukan sahaja dari sudut peningkatan hukuman tetapi juga meningkatkan kecekapan pentadbiran dan gaji-gaji hakim Mahkamah Syariah serta pegawainya dan meningkatkan tahap profesionalisme penguatkuasaan dan pendakwaan.
 
Beliau berkata, pada waktu sama jawatankuasa ini hendaklah melibatkan institusi Mahkamah Syariah untuk membuat kajian menyeluruh bagi memenuhi kehendak pemerkasaan mahkamah dan pentadbiran Islam di Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.
 
“Hanya dengan kesungguhan ini barulah Mahkamah Syariah akan dilihat terhormat dan bukan sekadar bahan dagangan politik murahan untuk tujuan politik sempit,” katanya.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, usul Marang dalam pindaan RUU 355 ini boleh diperincikan dalam jawatankuasa khas Parlimen dan hendaklah menggunakan proses sepatutnya yang bebas tujuan politik serta diserahkan kepada kerajaan untuk dibentang secara tertib.
 
“Saya dan rakan saya Kota Raja dari AMANAH telah mengusulkan bawah peraturan 27(3) tentang semua ini pada sidang lalu dan sidang kali ini sebagai komitmen kami dan keseriusan kami pada isu ini.”
 
“Bagaimanapun, saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Marang yang telah berjaya membentangkan dan memperincikan pindaan RUU 355 sebagai usul persendirian,” katanya.
 
Menurutnya, selama ini usul persendirian atau Private Members Bill (PMB) belum pernah diberi peluang apatah lagi Marang diberi laluan 2 kali dan hanya pada kali ke 3 perincian dibuat pada majlis yang sama.
 
“Syabas pada satu kes yang jarang berlaku, semoga ia menjadi kes awalan pada kami yang lain untuk menggunakan PMB dalam membuat pindaan akta atau memperkenalkan akta baru yang lain,” katanya.
 

Jika RUU 355 terus dipolitikkan, bakal mengorbankan pemerkasaan Mahkamah Syariah

 
Beliau berkata, bagaimanapun, polemik RUU 355 tampak jelas dipolitikan dan bakal mengorbankan pemerkasaan mahkamah syariah kerana pihak berwajib dari kerajaan Umno/BN tidak mengambilnya untuk dibaca kali kedua sebagai RUU kerajaan.
 
Menurutnya, jikalau kerajaan tidak ambil RUU 355 Marang untuk dijadikan urusan undang-undang kerajaan, tujuan apakah semua ini? Setelah menimbulkan polemik politik di bawah sana, bukankah ia niat politik dan tiada kena mengena dengan meningkatkan hukuman mahkamah syariah.
 
“Perbahasan yang berlangsung baru-baru ini dilihat hanyalah sekadar ‘akademik’ yang sudah diketahui penyudahnya,” katanya.
 
Beliau berkata, bukti 355 dipolitikkan adalah jelas dalam ucapan Presiden Umno di PAU 2016 lalu, iaitu  Timbalan Presiden Umno turut menyebut bahawa kerajaan akan adaptasi 355 usulan Marang yang dalam masa yang sama Parti komponen Sarawak menolaknya begitu juga MCA, MIC dan lain-lain.
 
“Bukankah ini menimbulkan ketegangan politik, apakah Umno/BN tidak tahu semua ini akan berlaku? Dan apa perjanjian sulit yang berlaku antara PAS dan Ummo sehingga akhirnya PM sebagai Pengerusi BN menyatakan pendirian tidak mengambil usul Marang untuk dijadikan usul kerajaan?” katanya.
 
Beliau berkata, secara tak langsung memperlihatkan tujuan politik Umno untuk mendekati PAS atau tujuan melemahkan pembangkang.
 
“Yang pasti, saya tidak boleh membiarkan keperluan murni ini iaitu pemerkasaan mahkamah syariah diperalatkan sebegitu rupa malah cara dan kaedah media perdana memaparkannya adalah untuk tujuan politik Umno,” katanya.
 
Menurut Mujahid lagi, pada waktu yang sama golongan yang senantiasa mengaitkan Marang dan partinya dengan ‘Hudud’ melahirkan penentangan yang tegar kepada RUU 355 sehingga sanggup membawa kes ini ke Mahkamah sebagai alasan ‘tidak berperlembagaan’. Bukankah ini menimbulkan konflik perundangan? Kerana Marang yang membawanya dan mungkin berbeza jika kerajaan sendiri yang mengusulkannya.
 
“Parlimen sepatutnya tidak boleh mengizinkan 355 yang baik ini menjadi polemik perundangan dan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
 
Beliau berkata, selain dari niat yang baik, sesuatu usaha perundangan perlu melalui proses konsultasi pihak pakar, pihak berkepentingan dan orang awam maka dalam proses itu tautan melalui dialog, forum yang melibatkan semua pihak amatlah penting.
 
Menurutnya, dalam proses meminda perundangan 355 ini yang caca-marba, ramai yang menjadi mangsa golongan Takfiri, iaitu sekelompok manusia yang kerjanya menghukum dan mengkafirkan orang Islam semata-mata kerana mengkritik cara RUU 355 dikendalikan.
 
“Begitu juga menggunakan institusi Mufti yang menulis bahawa Ahli Parlimen Muslim wajib sokong usul ini. Bagi Mufti yang berpandangan usul 355 ini wajib dibahas dahulu untuk meneliti dan memperincikannya, dituduh pula Mufti ini dengan berbagai tuduhan, amat malangnya institusi mufti diheret sebegitu rupa.”
 
“Justeru saya berpendapat jika RUU 355 ini terus dipolitikkan maka ia sekaligus bakal mengorbankan pemerkasaan Mahkamah Syariah yang akhirnya hanya menjadi bahan politik sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan 355 sebagai tunggangan politik dan tidak kurang telah melahirkan pentaksub kaum dan agama yang mengambil kesempatan memanfaatkan agenda politik masing-masing,” katanya.

Comments