Home Tempatan Akta 164: Sekretariat Ummat serah memorandum bantahan kepada Peguam Negara

Akta 164: Sekretariat Ummat serah memorandum bantahan kepada Peguam Negara

SHARE

PUTRAJAYA, 8 Rejab 1438H, Rabu – Sekretariat Ummat, hari ini menyerahkan memorandum bagi membantah cadangan Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) kepada Jabatan Peguam Negara, di Putrajaya.

Pengerusi Sekretariat Ummat, Haji Aminuddin Yahaya yang mengetuai penyerahan memorandum itu dengan penuh pengharapan menyeru agar pihak Peguam Negara dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pindaan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

“Bagi pihak NGO, kami menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap cadangan kerajaan untuk meminda Akta 164 ini.

“Ia jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga mengambil hak umat Islam untuk mengamalkan agama Islam di negara ini.

“Ia juga bertentangan dengan keputusan majlis fatwa yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak.

“Namun, kini undang-undang baru ingin diperkenalkan yang memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju. Saya rasa isu ini menjadi terkebelakang dan akan memberi kesan kepada kes-kes berlalu yang masih belum diputuskan,” katanya di sidang media penyerahan memorandum di sini, hari ini.

Memorandum itu pertama kali diserahkan di Jabatan Perdana Menteri melalui kepada Ketua Setiausaha Sulit, Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh minggu lalu.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan keputusan terhadap pindaan tersebut akan mengambil kepentingan rakyat keseluruhannya daripada kepentingan lain, Aminuddin berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Apa makna rakyat keseluruhannya. Tidakkah orang Islam rakyat majoriti di negara ini. Tidakkah Islam agama rasmi negara ini?

“Jadi saya rasa tindakan ini akan menimbulkan banyak masalah. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri juga meminta isu ini ditangguhkan dan menggesa agar diwujudkan satu komiti untuk membincangkan serta meneliti rapi isu ini,” katanya.

Rang undang-undang pindaan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada November tahun lalu dan memasukkan klausa baru yang menyatakan bahawa agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu dan sebelum penukaran agama sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan juga menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Antara lain, pindaan yang dicadangkan itu adalah untuk menangani isu-isu berkaitan penukaran agama secara unilateral bagi kanak-kanak bawah umur dalam situasi salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam selepas bercerai.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan rang undang-undang itu pada sesi parlimen yang sedang bersidang ini.

Comments