Home Tempatan Akta 164 sebahagian agenda perjuangan Gerakan Pluralisme Agama

Akta 164 sebahagian agenda perjuangan Gerakan Pluralisme Agama

SHARE

KOTA BHARU, 13 Rejab 1438H, Isnin – Presiden Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164, adalah sebahagian daripada perjuangan Gerakan Pluralisme Agama (IFC) Malaysia.

Bercakap sebagai penalis Forum Perdana Hal Ehwal Islam ‘RUU 164 lawan RUU 355’ di Balai Islam Kota Bharu malam semalam, beliau berkata, ada 14 tuntutan dibuat IFC, termasuk mahu menggunakan kalimah suci bagi orang Islam, termasuk Allah dan Kaabah, serta tidak mahu Islam menjadi agama pilihan utama di Malaysia.

“IFC juga tidak mahu orang Islam yang membayar zakat boleh dikecualikan potongan cukai pendapatan.

“Inilah perjuangan mereka. Sedangkan pindaan Akta 164 adalah bertentangan dengan Islam, Perlembagaan Negara dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya seperti dilapor Harakah.

Turut bertindak sebagai panelis Ahli Exco negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, manakala peguam Nik Bahrum Nik Abdullah bertindak sebagai moderator. Forum perdana tersebut dianjurkan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK), Perkim Kelantan dan Ilmuan Islam Kelantan.

Rang Undang-Undang (RUU) Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dibentang bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini, disifatkan pelbagai pihak merugikan umat Islam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak untuk berlapang dada berhubung keputusan kerajaan mengenai Akta 164.

Mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menggesa supaya pembentangan RUU itu ditangguhkan dan fatwa yang dikeluarkan mengenainya sebelum itu, Zahid berkata, beliau menghormati pandangan itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

“Kita menghormati agama dan hak semua kaum. Dalam soal ini, keputusan kerajaan berdasarkan kepentingan negara,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, kerajaan membentangkan Akta 164 bagi bacaan kali kedua. Bagaimanapun, berikutan bantahan pelbagai pihak kerajaan kemudian menangguhkan pindaan itu.

Sementara itu, Dr Mohamed Fadzli melahirkan rasa hairan bagaimana kerajaan boleh bersetuju untuk membawa pindaan akta kitu baru-baru ini.

“Kalau kita bersetuju dengan tuntutan pihak berkenaan ada 14 lagi tuntutan yang diperjuangkan mereka. PAS dengan tegas menentang pindaan akta tersebut kerana ia merugikan umat Islam,” katanya.

Comments