Home Tempatan ‘Aksi Monyet’ Nanyang Siang Pau Menghina Dewan Rakyat & Bersifat Menghasut-Mantan Peguam...

‘Aksi Monyet’ Nanyang Siang Pau Menghina Dewan Rakyat & Bersifat Menghasut-Mantan Peguam Kanan Persekutuan

SHARE

PUTRAJAYA: Akhbar vernakular yang menimbulkan kemarahan umat Islam kerana dikatakan telah menghina Undang-undang Islam dan dua tokoh Islam juga sebenarnya telah menghina Dewan Rakyat.

Mantan Peguam Kanan Persekutuan, Dato’ Prof. Hj. Mahamad Naser Disa berkata imej institusi tertinggi negara, Dewan Rakyat juga tercalar dengan tindakan Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur monyet dalam akhbar mereka pada 8 April lalu.

“Sebenarnya karikatur itu bukan sahaja tentang Haji Hadi (Abdul Hadi), tapi juga melibatkan speaker, jadi ianya memang bersifat hasutan.”

“Speaker ini satu institusi, beliau merupakan ketua di Dewan Rakyat, bagaimana mereka boleh digambar sebagai monyet, ini memang satu penghinaan bersifat hasutan,” tambah beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah badan pemikir, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

Nanyang Siang Pau pada Jumaat lalu yang memaparkan Abdul Hadi dan Pandikar sebagai ‘monyet’. Karikatur bertajuk ‘Akta Monyet’ memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’, manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai ‘Hadi Awang’ bertenggek di pokok ‘Akta 355’ yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Semalam di Pejabat Urusan Nanyang Siang Pau satu perhimpunan aman telah dianjurkan oleh PAS dan beberapa NGO Islam untuk menyerahkan memorandum bantahan. Beberapa laporan polis juga sudah dibuat di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri semalam memberi masa tiga hari kepada Nanyang Siang Pau untuk menjawab Surat Tunjuk Sebab kerana dikatakan telah mempersendakan Parlimen dan Agama Islam.

Comments