Home Antarabangsa Akhirnya sampai Arab Saudi, berbasikal enam minggu dari London

Akhirnya sampai Arab Saudi, berbasikal enam minggu dari London

SHARE

JEDDAH, 29 Zulkaedah 1438H, Selasa – Lapan pemuda yang menaiki basikal dari London sejak 17 Julai lalu, tiba di Arab Saudi kelmarin untuk menunaikan ibadah haji.

Mereka berjaya menyempurnakan kayuhan selepas berbasikal lebih 2,000 batu dengan tempoh perjalanan hampir enam minggu.

Salah seorang jemaah haji berbasikal, Abdul Mukith meluahkan rasa gembira ketika sampai di Masjid Nabi di Madinah, menerusi siaran secara langsung dari Facebook rasmi “Hajj Ride”.

Katanya, akhirnya mereka berjaya mengharungi perjalanan mencabar selepas melalui beberapa negara seperti Britain, Perancis, Jerman, Switzerland, Liechtenstein, Itali, Greece dan Mesir.

“Berjalan ke Masjid Nabi, saya tidak dapat menggambarkan perasaan dengan kata-kata, hampir enam minggu berbasikal, saya tidak percaya perjalanan itu selesai, tetapi satu perjalanan telah selesai dan sekarang kita perlu melengkapkan bahagian seterusnya,” kata Mukith.

Beberapa halangan yang dihadapi antaranya panas terik padang pasir di Mesir dan Arab Saudi, serta hujan lebat ketika melalui beberapa tempat di Eropah.

Mereka juga menghadapi sekatan dan isu visa yang memaksa mereka terbang ke Jeddah, tidak seperti perancangan awal yang perlu mengambil feri dari Hurghada di Mesir.

Ketika tiba di Arab Saudi, mereka disambut penduduk setempat dengan menyanyikan pelbagai lagu dalam bahasa Arab bagi mengalu-alukan kedatangan mereka ke negara itu. – Agensi

Comments