Home Tempatan Ajar Agama Masing-Masing di Sekolah – Dialog InspirasiKu TN50

Ajar Agama Masing-Masing di Sekolah – Dialog InspirasiKu TN50

SHARE

Putrajaya: Penukaran agama penganut agama Hindu ke agama lain secara tidak beretika mesti dihentikan, tegas Naraesh Pillay daripada Malaysian Hindu Youth Council. Beliau juga mendesak agar sistem kuota dihentikan sekiranya kita mahu membicarakan mengenai pembangunan negara.

Beliau dilaporkan telah berkongsi pendapatnya dalam sebuah forum bertajuk Dialog Inspirasiku TN50: Masa Hadapan Perpaduan Malaysia yang telah berlangsung di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Forum ini dianjurkan dengan kerjasama oleh ABIM, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan lain-lain.

Beliau berkata, “Kajian kami mendapati ramai penganut agama Hindu bertukar agama baru-baru ini, ramai penganut Hindu bertukar agama. Lebih daripada lima puluh peratus terdiri daripada penukaran agama secara tidak beretika. Jadi ini perlu dihentikan.”

Naraesh Pillay juga menganjurkan agar penganut-penganut agama lain juga diberi peluang untuk mempelajari mengenai agama mereka di sekolah-sekolah, sebagaimana pelajar-pelajar Islam dapat mempelajari mata pelajaran pengajian Islam di sekolah.

“Sepertimana pendidikan agama Islam di sekolah, pendidikan agama di sekolah juga kita semua perlu bagi setiap orang. Setiap orang perlu belajar agama mereka dan praktikkan dalam kehidupan seharian mereka. Ini adalah sesuatu yang saya sokong,” kata beliau.

“Sistem kuota. Kita sedang bercakap tentang pembangunan negara. Dalam era ini kita tidak sepatutnya bercakap tentang Melayu, Cina, India. Pada 2050 kita sepatutnya bercakap sebagai orang Malaysia. Kita semua seharusnya berbangga sebagai orang Malaysia, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India. Kita perlu berbangga menggelarkan diri kita sebagai orang Malaysia,” katanya lagi.

Thai Ming Yiew, Exco Majlis Belia Malaysia merangkap Timbalan Presiden Young Buddhist Association of Malaysia turut bersetuju dengan cadangan pendidikan pelbagai agama diterapkan dalam kurikulum sekolah.

Beliau juga mencadangkan agar unsur-unsur perbandingan agama dan forum-forum antara agama diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di peringkat menengah atas.

“Jadi untuk peringkat menengah atas ataupun lebih atas daripadanya mungkin kita juga boleh perkenalkan unsur-unsur perbandingan agama ataupun kita boleh memperbanyakkan juga forum-forum antara agama untuk memupuk persefahaman,” kata beliau.

Comments