Home Tempatan Air bersih buat pelarian Rohingya

Air bersih buat pelarian Rohingya

SHARE
Abdul Shakur (tiga, kiri) ketika menyantuni anak-anak Rohingya di kem pelarian di sempadan Myanmar.

PASIR PUTEH – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Royalti dan Cakna Palestin dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam SeMalaysia (Mapim) berjaya melancarkan pembinaan 25 telaga tiub untuk pelarian Rohingya di Bangladesh dan sempadan Myanmar.

Timbalan Presiden Cakna Palestin, Abdul Shakur Sharrie berkata, projek kemanusiaan itu adalah kesinambungan penyertaan NGO terbabit dalam misi Food Flotilla For Myanmar, baru-baru ini.

Katanya, telaga tiub itu membolehkan ribuan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar di Bangladesh, Kem Pelarian Kutupalong, Teknaf dan Teka di sempadan Myanmar dan Rakhine State di bumi Rohingya menikmati bekalan air bersih.

“Kita juga membantu institusi pendidikan pelarian Rohingya di Bangladesh, antaranya adalah Pusat Pendidikan Abu Bakar As Siddique dan Madrasah Khalid Ibnu Walid.

“Alhamdulillah, kami selamat menunaikan amanah rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan kepada saudara kita yang menderita di Rohingya, semoga menjadi jariah di akhirat kelak,” katanya semalam.

Abdul Shakur yang juga Timbalan Presiden Royalti berkata, beliau difahamkan jumlah pelarian Rohingya kini mencecah 70,000 orang dan terus bertambah.

Menurutnya, pihaknya juga turut mengadakan jamuan kepada anak-anak Rohingya termasuk anak yatim hasil sumbangan orang ramai.

Katanya, orang ramai boleh terus menyalurkan sumbangan ke akaun Cakna Palestin 0301-8010-1229-39 (BIMB), 8601-7945-07 (CIMB) dan 5530-3803-3881 (Maybank).

“Kami mengalu-alukan orang ramai mengikuti Forum Misi Food Flotilla For Myanmar yang akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 30 Mac nanti.

“Forum sempena Minggu Gerakan Usahawan 2017 itu menampilkan ahli panel dan tetamu khas iaitu Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid, Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary dan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat,” katanya.

Sinar Online

Comments