Home Antarabangsa Ahli Parlimen Kanada lulus usul anti-Islamofobia

Ahli Parlimen Kanada lulus usul anti-Islamofobia

SHARE
Sumber Gambar: thestar.com

OTTAWA: Penggubal undang-undang di Parlimen Kanada, dibantu sokongan kuat kerajaan Perdana Menteri Justin Trudeau semalam, meluluskan satu usul yang membuka jalan ke arah usaha memerangi Islamofobia pada masa depan.

Usul itu, meminta kerajaan untuk ‘menyedari betapa perlunya memadamkan rasa kebencian dan ketakutan yang semakin memuncak dalam kalangan orang awam’.

Ia juga mengutuk Islamofobia dan semua bentuk tanggapan perkauman sistemik dan diskriminasi agama.

Berikutan serangan Januari lalu di sebuah masjid di Quebec yang mengorbankan enam lelaki Islam, kerajaan Trudeau ditekan untuk mengutuk segala bentuk diskriminasi agama.

Malah, beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa buah masjid dan rumah ibadat Yahudi dirosakkan di beberapa bandar di seluruh Kanada.

Hampir semua timbalan menteri daripada Parti Liberal pimpinan Trudeau dan Parti Demokratik Baharu yang berhaluan kiri meluluskan langkah itu, manakala Ahli Parlimen Parti Konservatif mengundi menentangnya.

Langkah itu dikemukakan seorang timbalan dari pinggir bandar Mississauga berhampiran Toronto, yang mempunyai 700,000 penduduk kebanyakannya pendatang.

Usul itu mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk.

Satu tinjauan oleh Institut Angus Reid yang diterbitkan semalam, menunjukkan 42 peratus responden akan mengundi menentang langkah itu, manakala hanya 29 peratus menyokongnya. Responden lain tidak memberikan pendapat. – AFP

Berita Harian

 

Comments