Home Tempatan Ahli Akademik CASIS Sanggah Pemikiran Songsang Farouk A Peru

Ahli Akademik CASIS Sanggah Pemikiran Songsang Farouk A Peru

SHARE

Kuala Lumpur: Membalas kenyataan Farouk A. Peru berkenaan hukum hudud bertentangan dengan al-Qur’an, Prof Madya Khalif Muammar dari Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) berkata  hujah-hujah yang dikemukakan oleh Farouk bukannya hujah yang baru.

Hujah-hujahnya dikitar semula daripada pemikiran pihak Orientalis Barat semenjak tahun 1890 lagi dan telah dipatahkan dengan baiknya oleh Muhammad Mustafa ‘Azami dalam penulisannya.

Kata beliau, “Namun, seperti kebiasaannya, golongan liberal lebih gemar menerima hujah Orientalis yang mereka anggap lebih objektif.” Prof Madya Khalif Muammar turut menambah, “Dalam Islam, sumber (atau saluran) ilmu tidak terbatas pada pancaindera (sense perception) dan akal semata-mata, tetapi lebih penting lagi adalah khabar yang benar (al-khabar al-sadiq).”

Dakwaan Farouk berkenaan Hadith hanya muncul pada kurun kedua dan ketiga Hijrah adalah tidak benar. Menurut Prof Madya Khalif Muammar, “Tidak menemukan bukti terawal tulisan Hadith tidak bermakna ianya tidak wujud. Justeru, wujudnya koleksi-koleksi Hadith tersebut oleh para Imam Mu’tabar dan tokoh-tokoh ulama’ Hadith yang menguasai kesemua koleksi itu menunjukkan bahawa semua Hadith ini  bukan hanya ditulis tetapi dihafal oleh generasi awal dan diperturunkan secara lisan dan tulisan. Beginilah ilmu-ilmu Islam dipelihara pada zaman itu”.

Selain daripada itu, alasan yang diberikan oleh pihak liberal berpandukan ilmu Orientalis adalah menyimpang dari kebenaran. Ini kerana al-Qur’an menjelaskan tempat tinggi yang diberikan kepada Sunnah dan Hadith Nabi.

Manakala kebebasan agama yang diberikan oleh al-Qur’an dirujuk sebagai hak untuk murtad adalah tidak benar. Ini adalah kerana, ayat-ayat al-Qur’an yang menjadi rujukan mereka diambil sebahagian dan dibuang sebahagian lain. Maka, maksud yang difahami itu sudah tersasar dari kebenaran yang disampaikan oleh al-Qur’an.

Perbuatan menolak Hadith itu adalah menyeleweng daripada Islam dan berlawanan dengan jalan orang yang beriman. Kepercayaan bahawa kaedah memahami al-Qur’an tanpa memerlukan ilmu tafsir adalah kaedah yang tidak benar.

Kaedah yang digunakan ini dinamakan kaedah hermeneutik yang biasa digunapakai dalam kajian Bible dan tidak sesuai menggunakan kaedah yang sama untuk memahami al-Quran. Prof Madya Khalif Muammar menambah, “Para sarjana hermeneutika beranggapan bahawa manusia tidak mungkin dapat mengetahui maksud sebenar pengarang asal sesuatu karya”.

Kalau Kalam Allah tidak dapat difahami maksud sebenarnya, maka, sia-sialah penurunan Kalam tersebut. Tidak mungkin Allah membuat sesuatu yang sia-sia. Selain itu, Prof Madya Khalif Muammar juga menyatakan bahawa, “Seseorang itu tidak akan menjadi Qur’anist jika ia menolak Hadith dan autoriti Rasulullah. Kerana suruhan untuk mentaati Rasulullah dan menjalankan segala suruhannya jelas termaktub dalam al-Qur’an sebagaimana disebutkan di atas”.

*Jawapan balas lengkap Prof Madya Khalif Muammar kepada Farouk A Peru boleh dibaca di sini

Comments