Home Tempatan Agenda transformasi bumiputera bukan rasis

Agenda transformasi bumiputera bukan rasis

SHARE

PUTRAJAYA 12 April – Agenda transformasi eko­nomi bumiputera bukan bersifat rasis, malah ia merupakan satu daripada langkah bagi memastikan semua bangsa di Malaysia dapat menikmati taraf hidup dan ekonomi yang sama rata.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pe­neraju Agenda Bumiputera (Te­raju), Datuk Husni Salleh me­negaskan, kaum bumiputera merangkumi kira-kira 70 peratus daripada populasi negara dan jika kerajaan tidak mengambil langkah intervensi bagi memperkasakan ekonomi golongan ber­kenaan, mereka akan tertinggal jauh di belakang.

Katanya, salah faham me­ngenai agenda tersebut harus diperbetulkan bagi menepis tanggapan negatif rakyat dalam kalangan bangsa lain terhadap agenda nasional ini.

“Sejak sekian lama jurang ekonomi antara bumiputera dan kaum lain dilihat cukup besar dan Teraju bertanggungjawab memastikan jurang khususnya ekonomi dapat dirapatkan.

“Kita harus ingat jika jurang ekonomi dan taraf hidup antara kaum di Malaysia terlalu besar, ia akan mengakibatkan ‘tekanan’ dan tekanan-tekanan ini kelak akan mengakibatkan per­paduan antara kaum tergugat.

“Bila jurang ekonomi melalui agenda pemerkasaan bumiputera dibuat, ia menjadi sebuah agenda tradisional dan ia juga me­rupakan antara intipati bagi mengekalkan perpaduan di Malaysia,” katanya kepada ­Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis penutup Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Bumiputera (BETR 2.0) di sini hari ini.

Makmal sindikasi BETR 2.0 merupakan inisiatif Majlis Eko­nomi Bumiputera (MEB) yang menyokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat seluruh jentera kerajaan dilibatkan dalam pelaksanaan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Sebanyak 25 buah kementerian bersama agensi-agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkampung selama tujuh hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi memberi idea dan saranan dalam usaha memantapkan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Dalam pada itu, Husni berkata, generasi muda bumiputera hari ini tidak seharusnya terlalu selesa dengan kehidupan hari ini sehingga mengambil mudah dan memperlekehkan agenda transformasi ekonomi bu­miputera yang di­bawa kerajaan.

Beliau berkata, se­baliknya ge­nerasi mu­da bumiputera ha­­rus berfikiran jauh dan mempersiapkan diri bagi menghadapi ca­baran globalisasi masa depan.

Ujarnya, sikap segelintir Generasi Y yang beranggapan hidup mereka kini sudah berada di tahap yang selesa hasil daripada kejayaan ibu bapa, harus diubah kerana situasi tersebut akan berubah sekiranya tiada pendekatan diambil bagi memajukan diri.

Katanya, untuk itu Teraju akan terus membawakan program-program bersesuaian bagi mempersiap dan memperkasakan ekonomi kaum bumiputera khususnya bagi generasi muda.

“Cabaran setiap zaman itu berbeza. Kita tidak boleh samakan cabaran pada zaman saya de­ngan cabaran yang dihadapi anak muda hari ini. Dahulu orang Melayu ramai yang susah, daripada 10 orang hanya seorang Melayu yang kaya dan berjaya.

“Kini, Alhamdulillah de­ngan dasar-dasar yang dilakukan kerajaan, kita dapat lihat ramai Melayu dan bumiputera telah berjaya. Namun, adakah kita hendak berhenti setakat di sini sahaja? Tidak, cabaran pada masa depan lagi banyak dan di sinilah tugas serta tanggungjawab Teraju untuk mempersiapkan anak muda menghadapi cabaran akan datang,” katanya.

utusan online

Comments