Home Tempatan Agenda Sekular, NGO Dana Asing? Penganjur “Constitutional Day 2017” Menjawab Isu Dibangkitkan

Agenda Sekular, NGO Dana Asing? Penganjur “Constitutional Day 2017” Menjawab Isu Dibangkitkan

SHARE

Petaling Jaya: Sempena Hari Perlembagaan Universiti Malaya Ahad ini, MyConsti, salah sebuah Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi tujuan program celik Perlembagaan di bawah Majlis Peguam, menganjurkan Hari Perlembagaan 2017. Ia juga bersempena dengan Sambutan 60 Tahun usia Perlembagaan Malaysia. Pelbagai acara telah dijadualkan sepanjang hari termasuk pembentangan oleh penceramah-penceramah terpilih. Walaubagaimanapun, beberapa persoalan timbul berkenaan penganjuran acara ini yang dilihat seperti mahu mengetengahkan pemahaman serta tafsiran tertentu mengenai Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Pihak Menara.my mendapatkan penjelasan lanjut dari penganjur.

En Thomas selaku Timbalan Presiden MyConsti, ketika dihubungi menjelaskan bahawa program ini dianjurkan bagi membantu masyarakat untuk lebih celik Perlembagaan. Menurutnya, kebanyakan rakyat Malaysia ketika ditanyakan tentang perkara-perkara berkenaan Perlembagaan, majoriti daripada mereka menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sedangkan Perlembagaan juga merupakan salah satu daripada lima rukun penting di dalam Prinsip Rukunegara bagi rakyat Malaysia. Acara turut menampilkan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Prof Madya Dr Azmi Shahrom dan Saudara Syahredzan Johan.

Ketika ditanyakan  kenapa pemilihan penceramah yang agak berat sebelah dengan penceramah yang condong kepada tafsiran Perlembagaan bersifat sekular dan liberal, Thomas berkata, mereka tidak membuat pilihan begitu.

“Kami hanya mahu mendengar dari bidang-bidang lain, contohnya kami ada pensyarah dan peguam profesional seperti Profesor Emeritus Datuk  Dr. Shad Saleem Faruqi, Prof Madya Dr Azmi Sharom dan Peguam Syahredzan Johan selain dapat memberi  maklumat dari sudut akademik, dan mengambil perspektif yang positif dari mereka sahaja. Selain peguam sebagai panel penilai, dua professor ini boleh memberi pandangan dari sudut akademik mengenai perlembagaan yang lebih praktikal, kerana mereka mempunyai pengalaman dari sudut itu,” katanya.

Mengenai penglibatan beberapa NGO dan Syarikat Sendirian Berhad yang pernah mendapat dana dari Softpower Organization Amerika Syarikat, National Endowment For Democracy (NED) dan Open Society milik George Soros di dalam acara ini, Thomas menjelaskan, pihaknya menjemput mereka disebabkan mereka sebuah NGO dan hanya mahu mendengar perspektif dari mereka sahaja.

Tiada campur tangan asing sama sekali. Sama ada mereka ada kontroversi atau tidak, itu pihak penganjur tidak peduli sangat. SUARAM dan Lawyers For Liberty (LFL) pernah terlibat dengan kontroversi sebelum ini apabila ada pihak yang membuat pendedahan bahawa kedua-dua entiti ini mendapat sumbangan asing.

Wisma Putra pernah membuat penegasan kepada Duta Besar Jerman Dr Guenther Georg Gruber pada 2012, bahawa Malaysia memandang berat berkenaan isu sumbangan yang diberikan oleh Kedutaan Jerman kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) yang berkait langsung dengan badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Walaubagaimanapun, Duta Besar Jerman tersebut menyatakan bahawa semua sumbangan yang diberikan ialah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang selari dengan nilai-nilai Jerman seperti perjuangan hak asasi manusia. Penjelasan sebelum ini pernah diberikan bahawa semua bentuk sumbangan yang diterima SUARAM adalah dengan syarat tidak ada campurtangan dengan kerja-kerja SUARAM.

Apabila diajukan pertanyaan apakah hasrat utama yang hendak dicapai dengan penganjuran ini serta sambutan yang diterima acara Constitutional Day 2017 setakat ini, Thomas menjelaskan sebagai berikut.

“Kami takda musuh dan berasa bertanggungjawab sebagai seorang rakyat tempatan, menganjurkan program ini yang merupakan identiti Negara yang terpenting sekali, sebab undang-undang bukanlah tak penting.”

Beliau berkata, setakat ini sambutan amat menggalakkan yang dijangkakan  telah lebih 130 pendaftaran penyertaan setakat ini untuk sertai forum esok dan mungkin yang tak daftar juga akan datang esok.

Dengan tema “60-Year Milestone Of Constitutionalism :  “Are Your Rights All Right” di Fakulti Undang-undang Bangunan Sultan Azlan Shah, acara ini akan dilangsungkan bermula jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang pada 16 April 2017. Acara ini mendapat kerjasama Majlis Peguam Malaysia, Education For Malaysia Student dan turut diluluskan serta diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Comments