Home Pendapat Agenda Anti Islam dan Kuasa Pendaftar Pertubuhan

Agenda Anti Islam dan Kuasa Pendaftar Pertubuhan

SHARE

Saya amat tertarik membaca kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa seperti yang dilaporkan oleh portal berita Menara di bawah tajuk, ‘ROS Boleh Batalkan Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan Yang Menentang Agenda Islam Negara!’.

Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menggariskan bahawa setiap pertubuhan berdaftar mestilah mematuhi Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan urusan mereka.

Menara melaporkan bahawa menurut Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa, parti-parti politik dan pertubuhan yang menentang pemerkasaan Akta 355 boleh dibatalkan pendaftaran mereka.

Selain daripada mempersoalkan pindaan Akta 355, apakah tuduhan bahawa Malaysia ialah sebuah Negara Sekular oleh pemimpin sesebuah parti politik atau pertubuhan akan mengakibatkan terbatalnya pendaftaran pertubuhan mereka kerana perkara itu jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan?

Persolannya, kenapakah sekarang ini pemimpin-pemimpin parti politik dan pertubuhan berlumba-lumba untuk dengan lantangnya mendakwa bahawa mereka bebas dan berhak menentang dan menghina hal-hal berkaitan agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu? Malah, ada pemimpin yang sanggup menghina Raja-Raja Melayu dan mempertikaikan titah Raja-Raja kita. Apakah mereka terlalu jahil undang-undang atau sengaja mahu mencabar undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan negara kita?

Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan bahawa setiap pertubuhan diwajibkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti dan hal ehwal nya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Dan yang penting sekali, jika apa-apa yang dibuat oleh pertubuhan itu berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai kedudukan Islam sebagai agama Malaysia, maka pendaftaran pertubuhan tersebut boleh dibatalkan.

Kes-kes seperti kenyataan songsang oleh pemimpin-pemimpin parti politik, G25, COMANGO, Bersih, SIS Forum Berhad, dan lain-lain dengan jelas melanggar Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.  Mereka dengan sengaja menyalahtafsirkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk mengelirukan orang ramai dalam usaha untuk meruntuhkan asas-asas negara kita yang bertentangan dengan ideologi mereka.

Malah, COMANGO pula sudahpun membawa tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review). Perkara ini telah membawa kepada tekanan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu keatas negara kita dan mendesak kerajaan Malaysia mematuhi piawaian UPR biarpun ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Apakah ini bermakna bahawa tindakan boleh diambil ke atas pertubuhan-pertubuhan mereka?

Kini sudah sampai masanya pihak berwajib mengambil langkah yang lebih tegas dalam mengawal aktiviti-aktiviti parti-parti politik dan pertubuhan yang dengan bangganya menghina dan memperlekehkan agama Islam serta membuat kenyataan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia. Perkara ini amat penting kerana ianya boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama yang boleh membawa kepada rusuhan seperti tragedi 13 Mei 1969. Jika ini terjadi, kestabilan ekonomi negara akan musnah dan akan membawa kepada kehancuran negara kita.

*Menara.my percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian Menara.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Comments