Home Tempatan Agamawan Jangan Berpartisan, Perlu Neutral, Objektif Dan Berprinsip– Shah Kirit

Agamawan Jangan Berpartisan, Perlu Neutral, Objektif Dan Berprinsip– Shah Kirit

SHARE

KUALA LUMPUR: Agamawan tidak harus bersikap partisan kepada mana-mana parti politik dan sepatutnya bergerak secara neutral dan adil dalam menerapkan prinsip dan nilai keagamaan untuk kepentingan penganutnya, tegas pendakwah dan aktivis antara agama, Shah Kirit Kakulal Govindji, Presiden Global UNITY Network (UNITY).

Beliau berkata demikian berhubung isu kenyataan hebahan rasmi Bishop of Melaka-Johor Diocese, Rt. Rev. Bernard Paul kepada penganut Katolik di negara ini yang dikatakan mengeluarkan kritikan keterlaluan sehingga mengapi-apikan penganut Katolik untuk bukan sahaja tidak mengundi kerajaan sedia ada, tetapi ‘menjatuhkan kerajaan’ sedia ada sebagai peluang kemerdekaan kedua.

“Seorang agamawan sepatutnya bergerak secara neutral dan adil dalam menerapkan prinsip nilai-nilai keagamaan untuk kepentingan penganutnya, bukannya berpartisan iaitu memihak kepada mana-mana parti.”

“Sikap berpartisan kepada mana-mana pihak ini akan dilihat seolah-olah memaksa pandangan kita ke atas orang lain kerana di dalam nilai-nilai agama tidak harusnya ada pemaksaan, sebab itu kita diberi akal oleh Tuhan agar dapat memilih dan menentukan yang mana betul dan yang mana salah,” katanya lagi.

“Tetapi apabila kita memutuskan siapa yang patut diundi, itu pada saya sudah memperalatkan agama untuk tujuan politik, jangan kita politikkan agama tetapi sepatutnya kita agamakan politik,” tegas beliau ketika dihubungi Menara.my di sini semalam.

Shah Kirit berkata, tugas agamawan mempromosikan keharmonian dan perpaduan nilai-nilai murni bagi penyatuan kaum di negara ini bukan mengeluarkan kenyataan untuk menyebarkan kebencian atau menyuntik perpecahan dan membuat kacau bilau ke dalam masyarakat.

“Boleh saja beritahu kepada kerajaan apa yang menjadi kerisauan kepada mereka kerana dalam kerajaan sendiri sudah dilantik pihak-pihak yang menjaga kepentingan pelbagai agama ini termasuk muslim dan non-muslim untuk melihat semua kebajikan yang diperlukan.”

“Misalnya, Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) ditubuhkan untuk meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama di negara ini, jadi gunakan saluran-saluran ini jika mahu menyuarakan apa pandangan jika tidak berpuas hati.”

“Dia (Bernard Paul) perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan adakah dia mewakili dirinya sendiri atau mewakili keseluruhan institusi keagamaan. Adakah seluruh kepimpinan dan penganut agama yang diwakilinya itu bersetuju dengan pandangan itu.”

Ditanya, selain daripada laporan polis sudah dibuat, apakah cara yang lebih tuntas untuk berdepan dengan elemen Kristian radikal seperti ini, Shah Kirit berkata, laporan polis ini adalah menunjukkan kita hendak menggunakan pendekatan kuasa sebenarnya dan biasanya pendekatan kuasa ini kurang efektif dan boleh menyebabkan back fire dan memberikan satu persepsi negatif kepada kita semula.

Menurutnya, satu cara yang lebih strategik dan lebih berkesan ialah dengan meminta pandangan daripada kepimpinan agama yang sama yang mungkin ada pandangan yang berbeza daripada mereka dan biar mereka sendiri mengeluarkan satu kenyataan untuk memberi gambaran dan pendirian dari pihak mereka sendiri secara majoritinya dalam hal-hal seperti ini.

Beliau berkata, sekarang ini kalau dilihat dari segi kerajaan pusat, negara ini juga ada kerajaan-kerajaan negeri dan di dalam negeri-negeri tertentu kerajaan pusat menjadi pembangkang dan pembangkang menjadi kerajaan negeri. Bila berlaku korupsi di negeri-negeri tersebut, mereka juga perlu bersuara dan menegakkan prinsip-prinsip serta keneutralan dalam pandangan mereka tanpa mengamalkan politik partisan.

Comments