Home Tempatan Agama bukan untuk kepentingan politik: TPM

Agama bukan untuk kepentingan politik: TPM

SHARE

KOTA BHARU – Jangan gunakan agama mengikut tafsiran sendiri mahupun untuk kepentingan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya politik seharusnya digunakan untuk kepentingan agama yang tinggi darjatnya berbanding perkara lain dan perlu sentiasa dikukuhkan.

“Itulah sebabnya, mengenai enakmen baru-baru ini (Enakmen Kanun Jenayah Syariah), saya ucap terima kasih kepada Adun BN yang ada kerana beri sokongan, sebab dalam agama kita tak boleh berbeza pendapat.

“Kita mesti bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Soal kepentingan ummah dan Islam, yang baik kita berikan sokongan dan dokongan.

“Kita mempunyai agenda lebih besar untuk jaga agama, jaga bangsa kita tanpa ketepikan bangsa dan agama lain,” katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Yayasan Kemiskinan Kelantan Ketereh di sini.

Sementara itu, dengan sambutan menggalakkan daripada lebih 20,000 orang di majlis itu, Ahmad Zahid melihat wujudnya satu tsunami politik yang bakal membawa perubahan besar kepada Umno di Kelantan.

“Setiap pemimpin ada masanya untuk memimpin, Insya-ALLAH, saya tidak akan menongkat langit dan saya akan berikan kepada orang lain untuk jadi pemimpin, sama juga dengan Tan Sri Annuar Musa, begitu juga Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed).

“Bila zaman seseorang itu tamat dan seharusnya jadi negarawan dihormati, memberi pendapat baik kepada orang bawahannya, maka ini kebiasaan dalam politik. Tetapi yang berlaku di negara kita berbeza,” katanya.

Menurutnya, pemimpin yang ada kini sedang memperbaiki kesilapan pemimpin terdahulu dan memperkemaskan sistem pentadbiran serta politik ikut situasi terkini.

“Pemimpin sekarang ini tidak hormati pemimpin terdahulu, sebagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak hormati Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pak Lah (Tun Abdullah) menghormati pemimpin terdahulu.

“Keadaan kini terbalik, pemimpin terdahulu mengatakan pemimpin selepasnya tidak baik, dan ia hanya berlaku di Malaysia. Kalau ikut hukum itu, dah dekat dah, bila dah dekat, dekatkan dengan ALLAH.

“Jangan campur politik lagi, serah pada kita, kita tahu bagaimana nak kemudi. Zaman di kemuncak dulu, bukan kerana orang itu kuat tetapi kita yang menyokong, kerana kita yakin kepada institusi kepimpinan,” katanya.

Sinar Online

Comments