Home Surat Adakah Penahanan Presiden ASWAJA, Ustaz Zamihan Al-Ghari, Oleh Pihak Polis Mengikut Prosedur?...

Adakah Penahanan Presiden ASWAJA, Ustaz Zamihan Al-Ghari, Oleh Pihak Polis Mengikut Prosedur? – Kenyataan Media Penuh Concerned Lawyers For Justice (CLJ)

SHARE

Baru-baru ini dilaporkan bahawa Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Ustaz Zamihan Al-Ghari, telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan di bawah seksyen 4A Akta Hasutan, berhubung kenyataannya yang menegur sultan sebuah negeri, berhubung isu dobi mesra muslim. [1]

Di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948, cemuhan terhadap Raja sememangnya telah ditakrifkan sebagai hasutan. Oleh yang demikian, siapa-siapa sahaja yang melakukan perbuatan mencemuh mana-mana Raja, boleh dipertuduhkan dan dibicarakan di bawah peruntukan ini.

Walaubagaimanapun, peruntukan ini tidak boleh dibaca secara sekerat sahaja, sebaliknya perlu dibaca secara menyeluruh, di mana seksyen 3(2) Akta Hasutan seterusnya memperuntukkan pengecualian daripada kesalahan menghasut, bagi seseorang rakyat yang menegur kesilapan seseorang raja. Seksyen tersebut memperuntukkan seperti berikut:-

“…sesuatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain TIDAK BOLEH DISIFATKAN SEBAGAI MENGHASUT semata-mata oleh sebab perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu mempunyai kecenderungan — (a) bagi menunjukkan bahawa mana-mana Raja telah dikelirukan atau tersilap dalam apa-apa langkah yang diambil olehnya…”

CLJ tidaklah menyokong Ustaz Zamihan, malahan ada banyak perkara yang CLJ tidak bersetuju dan menentang keras ucapan Ustaz Zamhan dalam video youtubenya, [2] yang antara lainnya memukul rata semua Cina sebagai pengotor (walhal jumlah warga negara China berbangsa Cina yang beragama Islam adalah melebihi jumlah orang Islam di Malaysia sendiri). Pun demikian, sungguhpun CLJ tidak menyokong kenyataan Ustaz Zamihan tersebut, setelah meneliti dan mencermati sepatah demi sepatah kata-kata yang diungkapkan oleh Ustaz Zamihan, tidaklah boleh ianya dikatakan sebagai berunsur hasutan. Hal ini demikian memandangkan beliau semata-mata mengemukakan pandangan dan pendapatnya, berasaskan kepada bidang keilmuannya, berkenaan dengan hukum-hakam fiqh berkaitan wacana kesucian dalam Islam.

Justeru, Ustaz Zamihan semata-mata membangkitkan teguran kepada sultan, berasaskan kepada disiplin keilmuan, mengenai apa yang beliau percaya dengan suci hati sebagai kekhilafan di pihak sultan sebuah negeri. Sama ada tegurannya itu benar atau tidak, itu adalah isu berlainan, yang boleh dibahaskan secara akademik; tetapi apa yang pasti, ianya jatuh di bawah pengecualian yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(2) Akta Hasutan yang disebutkan di atas tadi, dan oleh yang demikian, tidaklah boleh dianggap sebagai hasutan.

Turut dilaporkan bahawa setelah ditahan, beliau akan direman untuk tempoh selama dua hari, iaitu sehingga besok (Jumaat). Sungguhpun di bawah Kanun Acara Jenayah, pihak polis sememangnya diberi kuasa untuk menahan reman selama tempoh tidak lebih daripada 4 hari untuk permohonan pertama, [3] tetapi ini hanya terpakai sekiranya penahanan itu diperlukan untuk membantu siasatan pihak polis. Dalam kes Ustaz Zamihan ini, kenyataannya telah pun terbit dalam laman youtube, dan sudah berada dalam domain awam. Justeru jika polis ingin menyiasat kenyataan tersebut, ia boleh dicapai di internet tanpa perlu menahan reman Ustaz Zamihan. Jika ingin juga menahan Ustaz Zamihan, maka sepatutnya beliau dipertuduhkan terlebih dahulu di Mahkamah, supaya ketika itu beliau mempunyai hak untuk membuat permohonan ikat jamin.

Perlu diingat, seseorang yang ditahan reman belum pun lagi dibicarakan dan dibuktikan bersalah oleh Mahkamah. Dia hanya ditahan untuk membantu siasatan oleh pihak polis sahaja. Dia akan terus kekal tidak bersalah di sisi undang-undang, selagi dia belum dibuktikan sebagai bersalah di Mahkamah. Justeru, melainkan terdapat sesuatu sebab kukuh untuk dia dinafikan kebebasannya (seperti untuk membantu siasatan polis), maka dia tidak sepatutnya ditahan. Dalam kes R e Syed Mohamad Syed Isa & Ors, Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan dan menyatakan prinsip penahanan reman seperti beriku:-

“Section 117 does not authorise detention of a person at leisure to conduct further investigation…. If detention is warranted, the diligence with which the police pursued their investigations is an appropriate consideration as to the length of detention to be ordered at a time or at all…. Enabling the police to complete investigations therefore primarily means preventing a suspect from interfering with witnesses and/or evidence and thereby preventing the police from completing their investigations, and to bring him to court to be charged with his crime. It includes remand to prevent him from ansconding, if there are reasonable grounds to believe he is likely to do so. Enabling the police to complete investigations cannot be interpreted as authorising interrogation.” [4]

Justeru, penahanan reman terhadap seseorang itu cuma boleh dibuat, jika ianya bertujuan untuk mengelak gangguan terhadap bahan-bahan bukti kes, dan itu pun jika terdapat bukti bahawa orang yang ditahan itu akan melupuskan bukti-bukti tersebut jika tidak ditahan. Atau jika terdapat bukti bahawa beliau akan melarikan diri untuk mengelak daripada dihadapkan ke Mahkamah jika pertuduhan difailkan. Dalam kes Ustaz Zamihan, tidak terdapat satu pun bukti bahawa beliau akan melupuskan sebarang bahan bukti (yang mana bahan bukti itu semuanya sudah pun terakam di Youtube dan berada dalam domain awam), atau bahawa beliau akan melarikan diri jika dipertuduhkan di Mahkamah. Justeru, tidak ada sebab mengapa pihak polis perlu menahan reman beliau selama tempoh dua hari, dan menafikan kebebasan dirinya untuk tempoh yang tersebut itu.

Sebelum mengakhiri, CLJ ingin mengulangi sekali lagi, bahawa CLJ TIDAK menyokong kenyataan yang diungkapkan oleh Ustaz Zamihan, malah ingin mengingatkan Ustaz Zamihan agar lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Hal ini penting, memandangkan beliau adalah Presiden sebuah pertubuhan yang menggunakan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Justeru kata-kata beliau jangan sampai menyebabkan fitnah ke atas aqidah dan aliran ahli sunnah wal jamaah. Beliau juga perlu lebih beradab dan berhikmah dalam menyampaikan pandangan dan ceramah.

Dalam masa yang sama CLJ juga insaf bahawa seseorang raja atau sultan atau pemerintah itu tidaklah suci sehingga tidak boleh ditegur langsung (dengan cara yang baik) sekiranya beliau melakukan kekhilafan. Barang elok diingat semula titah Sultan Nazrin Shah dalam Konvensyen Perkukuh Pasak Negara beberapa bulan yang lalu:-

“Islam menyuntik dimensi baru kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat. Islam menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan …. Nyatalah Raja mendukung amanah berat; peranannya bukan sahaja dinilai oleh warga di dunia ini, tetapi akan turut diadili di Padang Mahsyar nanti. Di Mahkamah Rabbuljalil, berhadapan ALLAH Yang Maha Esa, Raja ketika itu sudah tidak ada Peguam Negara; ketika itu Raja juga bergantung kepada amal makruf yang telah disempurnakan untuk menjadi Peguam Belanya.” [5]

[1] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/10/12/muslim-preacher-zamihan-remanded-for-two-days/

[2] https://www.youtube.com/watch?v=RJIuYLw4ygU

[3] Seksyen 117 Kanun Acra Jenayah

[4] In Re Syed Mohamad Syed Isa & Ors [2001] 8 CLJ 247

[5] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/309033/titah-sultan-perak-di-konvensyen-memperkukuh-pasak-negara

Comments