Home Tempatan ADAKAH MALAYSIA SEBUAH NEGARA BANGSA?

ADAKAH MALAYSIA SEBUAH NEGARA BANGSA?

SHARE

Perbahasan dan kempen mengenai Malaysia sebagai sebuah negara bangsa semakin mengambil tempat dalam wacana intelek dan politik tanah air. Saya susuli beberapa penggunaan istilah ‘negara bangsa’ oleh orang-orang penting daripada pelbagai latarbelakang sejak kebelakangan ini yang boleh memberi impak kepada masa depan negara.

Selain daripada menjawab soalan “Adakah Malaysia sebuah negara bangsa?” Soalan yang wajib ditanya juga ialah, “Adakah boleh untuk Malaysia menjadi sebuah ‘negara bangsa?” Saya akan jawab soalan ini di akhir tulisan, dan sebelum itu elok kiranya kita fahami mauduk atau isi tajuk yang semakin meliar disalahertikan.

Pada awal Februari 2017, satu nadwah ulamak telah dianjurkan oleh sebuah parti politik bertemakan “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa”, namun setelah saya teliti kesemua empat kertas-kerja yang telah dibentangkan di nadwah tersebut, tidak ada definisi asas mengenai pengertian “negara bangsa”.

Pengertian Malaysia sebagai sebuah negara bangsa ada diutarakan oleh Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dalam tiga konteks: identiti, budaya dan naratif seperti berikut:

Identiti: Terbentuk atas identiti kemelayuan awalnya dan kemudian selepas merdeka, identiti berbagai bangsa dan hari ini dikenali sebagai bangsa Malaysia. Realitinya, kepelbagaian adalah ciri utama kewujudan Bangsa Malaysia.

Budaya: Budaya Nasional mengambilkira setiap kaum dan bangsa dengan Melayu sebagai tongak “unity in diversity”.

Naratif: Naratif Melayu dikaitkan dengan Islam sebagai tonggak dan Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama manakala adat Melayu dianggap sesuatu yang berpengaruh dalam masyarakat. Perdebatan Islam dan hubungan dengan bukan Islam serta aliran Islam sebagai membentuk naratif negara bangsa.

Saya tidak pasti sama ada ianya satu pengertian yang baru dibina atau berasas kepada mana-mana pendapat para ahli antrapologi kerana tidak ada rujukan yang diberi.

Namun, dalam perbincangan tema besar seperti “negara bangsa” ini, kita tidak boleh pisahkan daripada pengertian yang sudah sebati mengenai kajian bidang yang kita palitkan dalam pendapat kita. Mahu atau tidak mahu, masyarakat akan merujuk juga kepada pengertian dan epistemologi perkataan yang digunakan demi mencari kefahaman, maksud atau pencerahan.

Mengikut Walker Connor (dilahirkan pada 1926M) dalam tulisannya “A Nation is Nation, Is a State, Is an Ethnic Group …..” menyatakan bahawa dua perkataan berikut sering diguna secara salah iaitu perkataan ‘state’ dan ‘nation’, begitu juga dengan istilah ‘nation state’ dan ‘nationalism’.

Kesemua empat istilah ini terbungkus dalam kesamaran kerana penggunaan yang seringkali tidak tepat, tidak konsisten dan salah, tetapi dalam artikel ringkas ini saya hanya fokus kepada istilah ‘nation’, ‘state’ dan ‘nation state’ sahaja.

‘State’, atau ‘negara’, adalah pembahagian kawasan secara geografi di bumi dan agak jelas dan mudah difahami konsep dan kuantiti atau keluasannya.

Mendefinisi dan memperjelaskan konsep ‘nation’ atau ‘nusa’ lebih susah, malah para antrapologis gagal bersatu dalam usaha mendefinisikannya, kerana secara intipatinya nusa adalah sesuatu yang ‘intangible’ atau sukar digambarkan secara fizikal, malah ianya lebih berkait kepada unsur hubungan psikologi sesuatu kumpulan manusia.

Dictionary of International Relations pula mendefinisikan nusa seperti berikut: “Satu kumpulan manusia yang berkongsi ideologi yang sama, institusi dan budaya yang sama, serta keturunan yang sama,” dan saya akan guna definisi ini untuk kegunaan di sini.

Maka daripada gabungan dua istilah ini, kita dapati beberapa kamus antarabangsa mendefinisikan ‘nation state’ atau ‘negara bangsa’ sebagai “kawasan di mana sempadan budaya adalah sama dengan sempadan negara, serta majoriti besar rakyatnya adalah daripada keturunan yang sama dan mengguna bahasa yang sama”.

Ada kecenderungan sebilangan para antropologis yang membuang ciri “daripada keturunan yang sama” daripada definisi negara bangsa demi memuatkan beberapa negara yang sudah bercampur keturunan ke dalam definisi negara bangsa dan inilah antara yang dimaksudkan oleh Walker Conner sebagai penggunaan istilah negara bangsa yang tidak tepat, tidak konsisten dan salah.

Setiap istilah ada epistimologinya yang harus dihormati dan diakuri supaya sejarah manusia tidak diubah hanya dengan merubah istilah. Sehingga kurun ke 17M, tidak wujud sempadan negara seperti yang kita dapati hari ini, malah yang wujud zaman itu dan sebelumnya ialah empayar yang merangkumi pelbagai etnik.

Sama ada Empayar Islam awal pada kurun ke 7 hingga kurun ke 15, Empayar Uthmaniyyah daripada kurun ke 15 hingga kurun ke 20, Empayar British, Empayar Austria, rakyat mereka semuanya pelbagai etnik, bahasa dan budaya, malah begitu juga dengan Kingdom of France dan Kingdom of Hungary.

Empayar dan Kingdom ini diperintah oleh Raja, Maharaja, Sultan atau King, tetapi sempadan kepada tanah jajahan empayar tidak wujud dan sempadan tanah jajahan sesebuah negara hanya wujud sekitar 500 tahun yang lalu atau kurang daripada itu, kecuali beberapa negara yang asalnya adalah kepulauan.

Apabila sesebuah negara mula didefinisi dengan sempadan, maka kumpulan orang yang menjadi rakyat negara tersebut boleh jadi terdiri daripada hanya daripada satu keturunan dan mengguna bahasa yang hampir sama, boleh jadi daripada pelbagai etnik dan keturunan.

Mana-mana negara yang yang didiami oleh majoriti besar rakyatnya adalah daripada satu keturunan atau etnik serta mengguna hampir satu bahasa, maka negara sebeginilah yang digelar sebagai sebuah negara bangsa.

Ini bererti, ada kemungkinan masih ada kumpulan orang daripada keturunan yang sama dengan rakyat negara tadi yang berada diluar negara tersebut, tetapi tidak menjadi rakyat negara itu.

Mana-mana negara yang terbentuk dengan sempadannya merangkumi rakyat lebih daripada satu etnik, dan etnik terbesarnya tidak cukup besar untuk mempengaruhi keseluruhan bahasa dan budaya negara tersebut, maka ia tidak tergolong ke dalam istilah negara bangsa.

Daripada pengertian ini, negara-negara seperti Albania (98.6% adalah etnik Albania), Armenia (etnik Armenia 98%), Bangladesh (etnik Bengali 98%), Mesir (etnik Arab 99%) dan Jepun (etnik Jepun 98.5%) adalah contoh negara-negara bangsa yang baik.

Kembali kepada persoalan asas tajuk artikel ini, adakah Malaysia sebuah negara bangsa? Umum mengetahui bahawa penduduk Malaysia adalah berbilang bangsa, berbilang keturunan, berbilang bahasa dan berbilang budaya, maka daripada definisi asas, Malaysia memang bukanlah sebuah negara bangsa.

Penduduk terbesar di Malaysia ialah etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori Penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus, diikuti oleh etnik Cina (23.4%), India (7.0%) dan Lain-lain (1.0%).

Kewujudan peratus yang besar etnik Cina (23.4%) dan etnik India (7.0%) yang mengguna bahasa tersendiri dan amat jauh kaitannnya dengan bahasa Melayu serta mengamalkan budaya serta memiliki kepercayaan atau agama tersendiri juga, menjadikan Malaysia lebih bersifat sebagai sebuah negara berbilang bahasa, budaya dan agama, dan bukan sebuah negara bangsa.

Maka, adakah boleh, suatu masa nanti Malaysia akan jadi sebuah negara bangsa, sebagaimana didendang oleh Mujahid serta kalangan yang sama dengan beliau?

Untuk menjadikan hampir semua rakyat mengguna bahasa yang sama adalah tidak mustahil, malah Malaysia agak berjaya kerana hampir semua rakyatnya yang berbilang keturunan itu dapat memahami Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa Negara.

Tetapi bolehkah diundurkan masa supaya semua rakyat Malaysia berasal daripada keturunan yang sama? Mustahil!

Maka, saya berpendapat, dari segi tiori dan praktikalnya, Malaysia bukan sebuah negara bangsa, dan tidak akan boleh jadi sebuah negara bangsa, dan fikrah Mujahid terlalu kacau bilau dari segi epistimologi dan tiori negara bangsa. Persoalan lebih besar ialah, perlukah Malaysia menjadi sebuah negara bangsa untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu?

Sejarah telah menunjukkan juga, ianya tidak perlu, malah, empayar Islam selama 7 kurun telah menunjukkan kesepaduan sedemikian tanpa melupuskan identiti bangsa dan keturunan rakyatnya, bahkan, Empayar Uthmaniyyah runtuh bila satu bahagian demi satu bahagian daripada empayarnya keluar membentuk negara bangsa, termasuk Arab Saudi, Mesir, Tunisia dan Armenia.

Seperkara lagi ialah sempadan negara wujud sebagai menifestasi kedaulatan dan peraturan serta undang-undang dalam sesebuah negara, di mana undang-undang luar tidak terpakai dalam negara tersebut.

Pada zaman globalisasi kini, sempadan negara semakin terhakis dan kekurangan makna bila terpaksa tunduk kepada peraturan dan perundangan antarabangsa, komunikasi tanpa batas dan keperluan perhubungan antara pelbagai negara.

Sesebuah negara tidak boleh sebebasnya mencetak wang sendiri kerana terikat dengan polisi tukaran luar, atau membuat polisi luar negara secara unilateral tanpa mengendahkan perundangan antarabangsa.

Malah negara-negara seluruh dunia sejak kebelakangan ini semakin sedar bahawa kepentingan mereka akan dapat dikembangkan dengan lebih baik dalam sistem yang meluas daripada proses globalisasi, sekaligus bererti, pemerapan polisi sebagai negara bangsa yang hanya mementingkan penduduk dan dalam negara sahaja boleh menyebabkan sesebuah negara itu ketinggalan atau peranan kewujudannya diambil alih oleh negara lain.

Tulisan Rotberg dalam The Washington Quarterly tentang kegagalan negara bangsa menyentuh betapa daripada 191 negara bangsa yang wujud, beberapa buah daripadanya dikategorikan sebagai gagal dan beberapa dozen pula dikategorikan sebagai lemah.

Negara-negara bangsa yang gagal amat berpotensi menjadi sarang ‘warlords’ dan teroris, malah memahami dinamik kegagalan negara bangsa menjadi paksi kepada peperangan melawan terorisme.

Dari segi kekukuhan ekonomi pula, negara-negara yang sedang muncul menjadi kuasa ekonomi baru seperti Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan adalah negara-negara yang bukan dalam kategori negara bangsa, malah Jepun dan Jerman yang kini menduduki tangga keempat dan kelima dijangka jatuh ke tangga kelapan dan kesepuluh pada tahun 2050.

Dari sudut perundangan pula, Wilets (1999) menulis dalam Berkeley Journal of International Law mengenai “The Demise of the Nation-State: Towards a New Theory of the State under International Law” yang mengupas betapa negara bangsa menghadapi masalah dalam blok binaan perundangan antarabangsa.

Kutipan fakta-fakta di atas menunjukkan tidak ada agungnya sebuah negara bangsa untuk dijadikan sebagai satu wawasan negara, dan sehubungan dengan itu, saya percaya tidak ada keperluan untuk melabel Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, kerana istilah itu sendiri berperikan kecelaruan asal usul dan maksud.

Daripada sudut realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik, bahasa, keturunan, budaya dan agama, pembentukan negara bangsa juga boeh membawa banyak kerusakan kepada apa yang kini sudah diterima, disanjung dan dipasarkan kepada dunia sebagai entiti politik dan ekonomi.

Pembentukan negara bangsa bererti menyatakan Malaysia hanya ada satu keturunan etnik, atau majoriti besarnya adalah daripada satu keturunan, maka setiap budaya juga adalah daripada satu budaya.

Pengiktirafan sedemikian bererti menutup kewujudan budaya etnik yang kini amat dimegahi oleh setiap etnik sebagai milik etnik itu sendiri.

Atau, setidak-tidaknya, jika setiap budaya itu diberi cap Malaysia tanpa disandarkan dengan etnik yang melahir dan mempopularkan budaya itu sendiri, ianya satu tindakan yang boleh membuang motivasi etnik terbabit untuk terus menjiwai dan melebarkan perkongsian budaya mereka kepada orang lain, sebagai kesan kehilangan ‘sense of belonging’.

Saya berpendapat, adalah tidak salah untuk terus memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa (multi-race); berbilang etnik (multi-ethnic); berbilang budaya (multi-culture) dan berbilang bahasa (multi-language).

Malah, kepelbagaian inilah yang selama ini menjadikan Malaysia sebuah negara unik di dunia, dan boleh dipasarkan dengan baik kepada dunia pelancungan.

Jika kita mahu hidupkan pengenalan ‘Bangsa Malaysia’ ianya bukan satu kemestian digelar, apa lagi untuk dibentuk sebagai sebuah ‘negara bangsa’.

Dr. Mohd Fauzi Shaffie merupakan seorang Pengurus Besar di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

Comments