Home Tempatan Abu Shariz: Dr Zakir Naik Tidak Pernah Bersetuju Debat Dengan Siti Kasim

Abu Shariz: Dr Zakir Naik Tidak Pernah Bersetuju Debat Dengan Siti Kasim

SHARE

Kuala Lumpur: Isu mengenai kehadiran Dr. Zakir Naik di negara ini menjadi kontroversi terutamanya selepas Dr. Zakir Naik dituduh melarikan diri dari India kerana takut didakwa atas kesalahan melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan terrorisme dan terlibat dalam pengubahan wang haram. Pihak Menara.my telah menghubungi salah seorang anak murid Dr. Zakir Naik untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Menurut Encik Abu Shariz Badr Sarajun Hoda, Dr Zakir Naik bukanlah melarikan diri dari India kerana takut didakwa meyebarkan fahaman terrorisme melalui program Islamic Research Foundation (IRF) dan Peace TV miliknya seperti yang dikatakan. Sebaliknya Dr. Zakir Naik sedang menunaikan umrah di Arab Saudi sewaktu dakwaan itu dikeluarkan terhadap beliau oleh kerajaan India. Maka, tidak timbul soal melarikan diri kerana takut untuk berdepan dengan pendakwaan.

Dakwaan ini adalah salah dan tidak masuk akal lebih-lebih lagi Dr. Zakir Naik merupakan seorang non-resident Indian (NRI), sekaligus menunjukkan beliau kurang meluangkan masa di India. Bahkan, ini sebenarnya satu tuduhan yang sengaja dicipta oleh Kerajaan India sekarang yang pro-Hindu dan polisi-polisinya adalah anti–Muslim.

Menyentuh tuduhan berkenaan penglibatan Dr. Zakir Naik dalam pengubahan wang haram dan adakah ia termasuk sekali di bawah tuduhan Akta Unlawful Activities (Prevention) (UAPA), Encik Abu Shariz memberitahu, “Setahu saya, ya. Itupun satu tuduhan yang tidak berasas dan peguam-peguam Dr. Zakir Naik sedang mencabar segala tuduhan ini di Mahkamah India. Biasalah, apabila orang luar melontarkan tuduhan yang tidak berasas, adalah menjadi hak untuk Dr. Zakir Naik untuk mepertahankan diri sendiri dan para peguam beliau juga sedang memfailkan pertahanan (defence) ke atas kes-kes tuduhan palsu ini.”

Akta UAPA adalah satu akta undang-undang India di mana kerajaan tidak perlu mempunyai bukti untuk menahan seseorang dalam jangka masa yang lama.

Encik Abu Shariz seterusnya menjawab persoalan berkenaan sama ada Dr. Zakir Naik akan meneruskan perjuangan beliau di negara ini dan adakah akan ada pembukaan akademi seakan-akan Islamic Research Foundation di Malaysia, “Seperti di tempat lain, Dr. Zakir Naik akan meneruskan perjuangan dakwahnya di Malaysia, namun itu tidak bermaksud Dr. Zakir Naik akan menjadi warganegara Malaysia mahupun menetap di sini. Buat masa ini tiada maklumat kukuh dan terperinci mengenai pelaksanaan penubuhan akademi seakan-akan IRF di Malaysia.”

Manakala, bagi isu kelulusan tauliah sementara, Encik Abu Shariz berkata bahawa kelulusan tauliah sementara untuk Dr. Zakir Naik  daripada mana-mana Jabatan Mufti di Malaysia tidak pernah menjadi isu kerana setiap program beliau adalah atas jemputan, di mana selalunya program terbabit sudah mendapat kelulusan prosedur yang sepatutnya dan telah diuruskan sendiri oleh pihak penganjur. Oleh itu, Dr. Zakir Naik tidak perlu memohon tauliah daripada mana-mana Jabatan Mufti Malaysia.

Selain itu, Encik Abu Shariz menegaskan bahawa persoalan mengenai persetujuan debat antara Dr. Zakir Naik dengan Siti Kasim tidak pernah timbul seperti yang disiarkan di media massa sebelum ini.

“Pihak kami tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada sesiapa pun di Malaysia ini untuk berdebat dengan Dr. Zakir Naik. Jikalau tiada permohonan, di mana soalan Dr. Zakir Naik terima atau tolak? Itu adalah salah tafsiran yang diambil daripada kenyataan Dr. Fathul Bari yang mengatakan bahawa Dr. Zakir Naik bersedia untuk bertemu dengan Siti Kasim.”

“Sebenarnya, Dr. Fathul Bari hanyalah ingin menganjurkan pertemuan antara keduanya. Pertemuan itu tiada masalah kerana, Dr. Zakir Naik hari-hari bertemu dengan orang yang ingin belajar agama, hendak bertanya soalan dan ada juga yang ingin bertemu Dr. Zakir atas dasar sebagai peminat.”

Mengakhiri perbualan, Encik Abu Shariz mengatakan bahawa pihak yang mencemuh Dr. Zakir Naik perlulah meneliti ayat nombor 6, surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

“Bagi pihak Dr. Zakir Naik, apa-apa berita yang tuan-tuan dan puan-puan terima, periksa dahulu kesahihan berita itu. Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui mengenai Dr. Zakir Naik, mudah sahaja. Pergi sahaja ke You Tube dan taip nama Dr. Zakir Naik dan video-video beliau akan keluar.”

“Tiada satupun video itu bersifat penghinaan kepada mana-mana agama mahupun hasutan kepada sesiapa. Perbandingan yang dibuat oleh Dr. Zakir Naik sebenarnya adalah untuk mencari persamaan antara agama dan bukanlah perbezaan antara agama,” katanya lagi.

Comments