Home Tempatan Abbad gadai nyawa demi al-Quran

Abbad gadai nyawa demi al-Quran

SHARE
Pupuk minat membaca al-Quran sejak anak kecil supaya meresap dalam jiwa mereka. - Foto hiasan

Abbad bin Bisyr al-Asyhali yang terkenal sebagai pahlawan Islam adalah seorang yang kuat dan beramanah menjaga urusan, serta tadbir urus harta orang Muslim. Beliau sangat dekat dengan al-Quran sehinggakan setiap waktu yang ada untuk membaca al-Quran dan berjuang ke jalan Allah SWT. Menerusi perkongsian Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany di IKIMfm menceritakan mengenai keperibadian Abbad bin Bisyr al-Asyhali.

Daripada Umar al-Khattab, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Menerusi perkongsian dalam segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany berkongsi mengenai seorang sahabat yang hidupnya banyak diisi dengan membaca al-Quran.

Tokoh terkemuka dalam kalangan orang Ansar itu ialah Saidina Abbad bin Bisyr al-Asyhali yang juga terkenal sebagai pahlawan Islam, seorang yang kuat dan beramanah menjaga urusan serta tadbir urus harta Muslim.

Saidatina ‘Aisyah pernah berkata, tiga orang daripada orang Ansar yang tiada seorang pun dapat menandingi ketokohan Saad bin Muaz, Usaid bin al-Hudair dan Saidina Abbad bin Bisyr.

Abbad masih muda ketika Islam sampai ke Madinah melalui pendakwah pertama diutuskan Rasulullah SAW, Saidina Mus’ab bin Umair. Jiwa mudanya meronta-ronta ingin mengetahui mengenai agama dibawa Rasulullah.

Pada satu hari, beliau berkumpul pada satu majlis Saidina Mus’ab dan bersedia untuk mendengar dan mengambil tahu apa yang akan dibicarakan. Mendengar bacaan ayat al-Quran oleh Mus’ab, ia terus meresap dan menyentuh hati Abbad, lantas bertautlah kasih sayang keimanan antara Abbad dan Mus’ab.

Mereka menjadi rapat kerana nikmat iman dan Islam yang dikecapi oleh Abbad. Beliau bukan sekadar tertarik dengan al-Quran, bahkan dikatakan begitu asyik dengan al-Quran.

Sentiasa bersama al-Quran

Sehinggakan hatinya, siang mahupun malam berpegang erat dengan al-Quran. Sahabat akan mendapati dan menemui beliau dalam dua keadaan, sama ada membaca al-Quran mahupun berperang di jalan Allah SWT.

Beliau dikenali sebagai imam kerana sering dilantik mengimamkan solat. Pada satu malam, saat Rasulullah SAW sedang bertahajud, Baginda terdengar Abbad membaca al-Quran.

Rasulullah SAW mendapatkan kepastian daripada Saidatina ‘Aiysah, maka ‘Aisyah menjawab: “Benar ya Rasulullah. Lantas Rasulullah SAW mendoakan Abbad dengan doa: Ya Allah, ampunkanlah dosanya.”

Beruntungnya Abbad yang didoakan oleh Rasulullah SAW. Beliau juga menyertai hampir semua peperangan umat Islam, sangat setia dan kuat mujahadahnya ketika berperang.

Suatu yang indah dalam hidup Abbad, walau di mana sahaja beliau berada, al-Quran tidak pernah lekang daripada kehidupannya. Setiap selang waktu yang ada, pasti akan dilengkapkan dengan membaca al-Quran.

Pernah berlaku, saat Rasulullah SAW pulang dari peperangan Zat al-Riqaaq, Baginda singgah pada satu lembah untuk berehat. Baginda bertanya kepada sahabat, siapakah yang akan berjaga demi mengawal keselamatan.

Lantas Abbad dan saudaranya Ammar bangun menyatakan kesanggupan untuk berjaga. Ammar dan Abbad adalah dua orang yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah Baginda.

Ammar memilih untuk tidur dahulu, maka Abbad mengambil tugas untuk berkawal. Kesempatan malam yang sunyi dan tenang digunakan Abbad untuk beribadah dan ketika itu seorang daripada angkatan musuh mendekati pasukan Rasulullah SAW.

Musuh itu melepaskan anak panah ke arah Abbad yang sedang solat tetapi dicabut Abbad yang sedang membaca surah al-Kahfi. Begitulah yang berlaku sehingga anak panah ketiga dan darah terus mengalir, Abbad mengejutkan Ammar.

Ketika itu, musuh tadi bergegas lari meninggalkan mereka. Apabila Ammar bertanya kenapa tidak dikejutkan beliau ketika anak panah pertama mengenainya, Abbad menjawab: “Aku sanggup sampai nyawaku tercabut daripada tubuhku daripada aku memberhentikan bacaan al-Quran.”

Jika bukan kerana bimbang keselamatan Rasulullah SAW dan angkatan yang lain, pasti Abbad tidak akan memberhentikan solat dan bacaan al-Quran. Begitulah jiwa mereka yang Allah SWT muliakan dengan al-Quran.

Dapat kita hayati dan muhasabah diri adakah kita menjadikan al-Quran sahabat yang akrab. Semoga kita dapat menjadikan sahabat Rasulullah SAW sebagai contoh dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Penulis adalah Penyampai dan Penerbit Rancangan IKIMfm

Berita Harian

Comments