Home Antarabangsa PBB adakan mesyuarat tergempar isu Syria

PBB adakan mesyuarat tergempar isu Syria

SHARE

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar esok (Rabu) untuk membincangkan serangan disyaki gas kimia di Syria yang menyebabkan puluhan maut.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Nikki Haley berkata, Britain dan Perancis memanggil mesyuarat terbabit susulan laporan serangan ke atas bandar ditawan pemberontak di wilayah Idlib awal hari ini.

Katanya, anggota majlis menyaksikan laporan ‘serangan kimia dahsyat di Syria.’

Haley berkata, majlis akan mendengar taklimat dalam satu mesyuarat terbuka jam 10 pagi (1400 GMT) Rabu dan ‘berharap mendapat maklumat seberapa banyak mungkin terhadap serangan di Syria.’

Setiausaha Luar Britain Boris Johnson berkata, dakwaan serangan kimia berhampiran Idlib di Syria ‘menunjukkan tanda-tanda dilakukan kerajaan Syria.’

Johnson dalam satu kenyataan berkata, beliau amat ‘terkejut’ terhadap laporan serangan dan menuduh kerajaan Bashar al-Assad berulang kali menggunakan senjata kimia pada masa lalu.

Ulasannya susulan laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang meletakkan jumlah kematian serangan sebanyak 58 orang.

“Britain akan terus mengetuai usaha antarabangsa membawa penjenayah ke muka pengadilan,” katanya.

Britain juga menggesa Russia dan China supaya tidak menyekat tindakan ke atas pihak bertanggungjawab atas serangan kimia di wilayah Idlib ditawan pemberontak yang digelarnya ‘satu jenayah perang.’ -AP/AFP

Berita Harian

Comments