Home Tempatan 9 institusi perbankan Islam komited jayakan VBI

9 institusi perbankan Islam komited jayakan VBI

SHARE
ABDUL Rasheed Ghaffour. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sembilan institusi perbankan Islam mengesahkan komitmen mereka dalam menjayakan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) bertujuan mengukuhkan lagi peranan dan impak institusi perbankan Islam terhadap ekosistem kewangan mapan.

Institusi perbankan Islam berkenaan ialah Bank Islam, Bank Muamalat, CIMB Islamic, Agrobank, HSBC Amanah, Maybank Islamic, AmBank Islamic, Alliance Islamic dan Standard Chartered Saadiq.

Ia berikutan penubuhan Komuniti Pengamal (CoP) VBI antara sembilan institusi perbankan Islam itu yang akan bertindak sebagai pemacu utama dalam menggunapakai dan melaksanakan VBI di peringkat industri.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour, berkata CoP itu juga bertindak sebagai teras utama rangkaian berasaskan nilai yang menghubungkan guna pakai VBI dengan komponen lain dalam ekosistemnya.

Katanya, dengan pelaksanaan VBI, pengamal perlu menimbang kesan aktiviti dan tindakan mereka bukan saja kepada pengguna kewangan, tetapi juga kepada pihak berkepentingan.

“Strategi itu bertujuan menggalakkan penggunaan amalan VBI yang akan membawa kepada peningkatan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam seperti memudahkan keusahawanan, kesejahteraan masyarakat, alam sekitar lestari dan pertumbuhan ekonomi, tanpa mengabaikan pulangan kepada pemegang saham,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog VBI anjuran Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) di sini sebentar tadi.

Hadir sama Presiden AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Abdul Rasheed berkata, menerusi VBI pelanggan, khususnya perniagaan dan usahawan akan lebih terbabit dalam merangka produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif, bersesuaian bagi memenuhi keperluan masing-masing.

“Proposisi perniagaan daripada sektor seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), akan turut meraih manfaat daripada amalan berasaskan VBI,” katanya.

Strategi itu dijangka diguna pakai dan dilaksanakan berdasarkan kesediaan setiap institusi perbankan Islam.

Dialog VBI itu diadakan susulan penerbitan Kertas Strategi VBI oleh BNM baru-baru ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan orang awam.

VBI adalah inisiatif penting dalam menggerakkan industri kewangan Islam ke tahap pertumbuhan berikutnya yang lestari dengan proposisi nilai yang jelas.

Ia akan memberikan impak besar kepada ekonomi, komuniti dan persekitaran.

Contoh VBI ialah pembiayaan yang memiliki matlamat khusus seperti membantu golongan sasar tertentu seperti ibu tunggal.

Berita Harian

Comments