Home Tempatan 5,670 jemaah tunai haji lebih awal tahun ini

5,670 jemaah tunai haji lebih awal tahun ini

SHARE

SHAH ALAM – Kira-kira 5,670 jemaah haji yang tidak tersenarai pada tahun ini bakal mendapat peluang untuk menunaikan haji lebih awal.

Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno,  Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, manfaat itu merupakan hasil diperoleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang hadir bersama-sama 600 orang delegasi, baru-baru ini.

“Manfaat utama yang saya dapat lihat merupakan pengembalian kuota jemaah haji untuk rakyat negara kita kepada 27,900 orang daripada jumlah terdahulu seramai 22,230 orang yang telah dikurangkan sejak 2013.

“Sekiranya jumlah kuota ini kekal, bermaksud individu yang mendaftar haji pada 2014 yang mana mengikut giliran hanya dapat menunaikan haji pada 2082 dan kini, giliran tersebut telah disegerakan seawal 14 tahun lalu menjadikan gilirannya pada 2068,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut mengesahkan permohonan untuk menambah lagi kuota haji dan pembinaan pusat jemaah haji di Mekah dan Madinah sedang mendapat pertimbangan Raja Salman.

“Saya dan seluruh rakyat negara berdoa agar kedua-dua perkara ini mendapat kelulusan daripada Kerajaan Arab Saudi seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menunaikan haji setiap tahun dengan lebih mudah dan kondusif.

“Seterusnya, saya juga bersyukur kerana Kerajaan Arab Saudi yang telah bersetuju untuk menambah biasiswa kepada pelajar Malaysia yang menuntut di Arab Saudi bermula tahun hadapan sebanyak tiga kali ganda,” katanya lagi.

Sinar Online

Comments