Home Tempatan Perkasa gesa legitimasi Hindraf dikaji semula

Perkasa gesa legitimasi Hindraf dikaji semula

SHARE

PETALING JAYA: Wira Perkasa mahu kerajaan mengkaji semula legitimasi pertubuhan Hindraf kerana “secara halus dan secara subversif” menghasut rakyat Malaysia dengan sentimen anti-Islam, terbaharu isu membabitkan pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

“Ini adalah suatu tindakan terdesak dan tidak bermaruah oleh (pengerusi kumpulan Hindraf) P Watyamoorthy dan Hindraf,” kata Ketuanya, Azrul Akmal Saharudin menerusi kenyataan media.

Sambil mendakwa Hindraf mengambil doktrin kumpulan pemberontak Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Azrul bertanya sama ada Watyamoorthy mahu masyarakat Hindu dan yang beragama Islam di Malaysia bergaduh.

“Apakah sebenarnya matlamat yang ingin dicapai Watyamoorthy dan Hindraf?” kata beliau lagi.

Hindraf pernah diharamkan pada tahun 2009.
Sehubungan itu, katanya, Wira Perkasa juga mahu kerajaan mengkaji dengan serius kedudukan Watyamoorthy sebagai rakyat Malaysia jika benar dia mahu menghidupkan sentimen anti-Islam.

Rabu lalu, 19 orang termasuk Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa ia melindungi Zakir.

Mereka mendakwa pendakwah itu sebagai individu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

“Beliau menggalakkan keganasan dalam masyarakat,” kata mereka dalam tuntutan saman itu.

Mereka juga mendakwa kehadiran Zakir di Malaysia akan membawa ancaman kepada keselamatan negara.

Azrul pula berkata, Wira Perkasa memandang berat kenyataan “biadap dan berbaur hasutan” yang cuba untuk memecahkan perpaduan negara ini dan oleh itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan Kelantan kelmarin dan di Selangor semalam berkenaan perkara itu.

“Kita mahu pihak polis bertindak terhadap Watyamoorthy ini kerana jika kenyataan biadap dan berbaur hasutan sebegini dibiarkan sahaja ia pasti akan menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama.

Katanya, Zakir merupakan seorang pendakwah Islam tersohor dan sangat dihormati di Malaysia atas keilmuannya dalam bidang perbandingan agama dan usaha dakwah yang dilakukannya.

“Sebarang tuduhan kononnya beliau memberi ancaman pada negara dan sebagainya mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh bukan hanya berdasarkan persepsi di negara bukan Islam sudah tentunya mereka mempunyai agenda tersendiri untuk menyekat dakwah Islam,” kata beliau.

Free Malaysia Today

Comments