Home Tempatan 5 negara Islam sepakat tangani ancaman Daesh

5 negara Islam sepakat tangani ancaman Daesh

SHARE
Sumber Gambar: Malay Mail Online

LANGKAWI: Malaysia serius menyertai komitmen lima negara rakan kongsi Islam dalam mendepani ancaman baharu khususnya membabitkan penularan ideologi militan Daesh.

Selain Malaysia, komitmen itu turut disuarakan Qatar, Turki, Pakistan dan Indonesia susulan mesyuarat kelima-lima negara itu sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA’17), hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perbincangan itu berkisar kepada kepentingan penyatuan Islam sebagai ummah serta mencari kaedah bagaimana mendepani cabaran keselamatan hari ini seperti radikalisme, ekstremisme dan kepengganasan sebagai satu ketumbukan.

Katanya, melalui perbincangan itu negara terbabit melihat kepada tiga aspek terutama berhubung ideologi kumpulan militan Daesh yang memerlukan pendekatan bersifat ‘counter-narrative’ mematahkan propaganda.

“Jika lima negara ini boleh bermula dengan pengumuman kita di Malaysia susulan lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud (Raja Arab Saudi) melalui penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, ia dianggap satu perkara penting bagi menunjukkan Daesh bukan mewakili Islam.

“Ideologi Daesh bukan menggambarkan Islam sebagai agama sederhana.. jadi pergerakan global sebegini boleh digemblengkan dalam usaha lima negara ini yang turut membabitkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama sempena Sidang Meja Bulat Ketua Tentera Laut (CNRT) sempena LIMA’17 di Resort World Langkawi, di sini, hari ini.

Hisham berkata delegasi lima negara turut bersetuju dalam soal pengoperasian bersama keperluan aset di mana kelebihan masing-masing dikongsi sebagai pendekatan baharu mengelak pertindihan dan pembaziran.

Mesyuarat lima negara itu berlangsung semalam dengan dipengerusikan Hisham bersama Menteri Hal Ehwal Pertahanan Qatar, Dr Khalid Mohammad Al-Attiyah.

Turki diwakili Timbalan Menteri Pertahanan Kebangsaan, Suay Alpa, manakala Pakistan diwakili Menteri Pengeluaran Pertahanan, Rana Tanveer Hussain dan Indonesia pula disertai Pengarah Teknologi dan Industri Pertahanannya, Brid Jen Dr Pieter Ate.

Lima negara itu dijangka bertemu sekali lagi melalui mesyuarat rangka kerja yang akan dihoskan Turki di Istanbul Mei depan, sebelum disusuli mesyuarat peringkat menteri di Qatar selepas itu.

Berita Harian

Comments