Home Antarabangsa  40 jemputan umrah Malaysia disambut meriah

 40 jemputan umrah Malaysia disambut meriah

SHARE

MADINAH – ARAB SAUDI. Seramai 40 peserta jemputan umrah dari Malaysia yang menjadi  tetamu dua penjaga Tanah Suci disambut meriah sebaik sampai di Madinah.

Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdullah bin Abdulrahman Al-Baijan turut meraikan kedatangan rombongan yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, swasta, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil media.

Menurut Sheikh Abdullah, Raja Salman Abdul Aziz yang menjadi penjaga dua Tanah Suci, menganjurkan program jemputan umrah ini untuk mengukuhkan persatuan dan persaudaraan umat Islam di seluruh dunia.

Beliau kemudian membacakan al-Quran surah Ali Imran ayat 103 dengan bacaan yang merdu dan menjelaskan maksud ayat yang menyeru umat Islam untuk berpegang kepada agama ALLAH dan melarang umat Islam berpecah dan bercerai berai.

“Rasulullah telah menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin. Persaudaraan ini menjadikan Islam kuat sehingga Islam terus berkembang. Semoga persaudaraan dan penyatuan yang dicontohkan ini, dapat kita wujudkan kembali, termasuk melalui  program jemputan Umrah ini,” jelas Sheikh Abdullah lagi.

Rombongan Malaysia yang berangkat dari Kuala Lumpur pada Rabu 3 Mei lalu, akan berada di dua kota suci itu sehingga 14 Mei ini.

Sepanjang di Madinah, pelbagai program diaturkan, antaranya lawatan ke Muzium Asma Ul Husna bersebelahan Masjid Nabawi, bukit Uhud, kilang percetakan al-Quran, masjid Quba, sebelum menunaikan umrah di Makkah.

Dalam sesi pertemuan khas bersama Eksekutif Pengurusan Jemputan Umrah dan Haji Kementerian Agama Arab Saudi, Sheikh Abdulkareem Al-Rayes, beliau menyatakan rombongan Malaysia adalah delegasi pertama sampai di Madinah yang disusuli oleh tetamu jemputan dari 11 negara lainnya.

“Antara negara yang turut dijemput selain Malaysia, adalah Indonesia, Thailand, Brunei, Bangladesh, Jepun, China, Turki, Maldives, Ethiopia, Ivory Coast,” jelas Abdulkareem.

Menurut Abdulkareem lagi, terdapat dua program jemputan anjuran Kerajaan Arab Saudi iaitu jemputan tetamu haji yang telah dilaksanakan lebih 20 tahun dengan lebih 20,000 tetamu jemputan.

Sementara jemputan tetamu umrah program yang masih baharu.

“Untuk jemputan tetamu haji, Malaysia diundang setiap tahun, berbanding negara lain yang digilir-gilirkan. Ini menunjukan Malaysia mempunyai hubungan yang istimewa dengan kerajaan Arab Saudi,” jelas Abdulkareem.

Dalam sesi dialog dua hala ini pihak Malaysia mencadangkan agar seluruh tetamu jemputan umrah kali ini diberi peluang memasuki Raudhah  sebagai kenangan Istimewa berada di Masjid Nabi.

Permintaan ini ditunaikan oleh Pengurusan Jemputan Umrah dan Haji, Kementerian Agama Arab Saudi membuktikan jalinan istimewa yang wujud ketika ini.

Terdahulu, ketika mengucapkan selamat jalan kepada ahli rombongan, Timbalan Duta Arab Saudi di Malaysia, Fawwaz Tanaf Al-Otaibi dan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Syaikh Abdulrahman Mohamed Al Harfi turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya berharap melalui program itu para peserta akan dapat berkenalan antara satu sama lain dan mengeratkan ukhuwah sesama Islam,” kata Fawwaz.

Syaikh Abdulrahman pula  berharap, biarpun program tersebut ditaja oleh kerajaan Arab Saudi namun peserta perlu melihat bahawa hakikatnya mereka dipilih ALLAH menjadi tetamu-Nya di tanah suci.

Selain dapat mengukuhkan persaudaraan sesama ahli rombongan, juga dapat saling berkenalan dan mengukuhkan pesaudaraan dengan peserta jemputan umrah dari negara lain yang turut sama kali ini.

Sinar Online

Comments