Home Tempatan 4 manfaat hasil lawatan Raja Arab Saudi

4 manfaat hasil lawatan Raja Arab Saudi

SHARE
Pertemuan antara Dato' Sri Mohammad Najib dan Raja Salman, kredit gambar www.najibrazak.com

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud berjaya bagi kedua-dua belah pihak di mana empat perkara utama memberi manfaat besar kepada rakyat secara langsung.

Perdana Menteri berkata, manfaat yang pertama ialah lebih banyak biasiswa untuk rakyat Malaysia ditawarkan Kerajaan Arab Saudi iaitu tiga kali ganda jumlah biasiswa untuk pelajar Malaysia di negara itu, bermula tahun hadapan.

Katanya, ketika ini hanya 100 biasiswa disediakan bagi pelajar Malaysia untuk menuntut di Universiti Islam Imam Mohammed bin Saud di Riyadh. “Biasiswa ini bermakna lebih ramai pelajar akan berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka di sana.

Tambahan kepada itu, ia juga melengkapi dan menambah lagi kepada peruntukan RM4.3 bilion Kerajaan untuk biasiswa di bawah Bajet 2017,” katanya dalam blognya najibrazak.com di sini, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, manfaat kedua hasil lawatan itu adalah penambahan kuota haji dan pembinaan dua pusat jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Sebagai Perdana Menteri, katanya beliau berusaha melakukan segala yang terdaya untuk membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima itu dan komited memastikan tempoh waktu menunggu giliran untuk menunaikan haji dapat dikurangkan.

“Alhamdulillah, berkenaan permohonan saya untuk meningkatkan kuota haji, Raja Salman telah memberikan maklum balas positif dan akan memberi pertimbangan secara mendalam. Setakat ini, kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji 2017 adalah 27,900 orang.

“Kita juga telah menyampaikan permohonan untuk membina dua pusat jemaah haji, satu di Makkah berdekatan Masjidil Haram dan satu lagi di Masjid Nabawi di Madinah. Permohonan ini juga mendapat maklum balas positif daripada Raja Salman dan akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya berharap dan berdoa semoga permohonan kita ini akan diberi pertimbangan sewajarnya agar dapat memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji dalam suasana yang lebih kondusif,” katanya.

Najib turut menyatakan lawatan itu juga memberi manfaat besar kepada sektor pekerjaan dan pelaburan yang mana syarikat Saudi Aramco akan melabur RM31.08 bilion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Johor.

“Saya percaya, ia akan mewujudkan banyak peluang kepada rakyat, daripada peluang pekerjaan hinggalah kepada pembangunan dalam industri sokongan seperti runcit, kewangan, pembinaan, perkhidmatan dan banyak lagi.

“Industri lain seperti ekonomi halal, perkhidmatan kewangan Islam dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut akan mendapat manfaat,” katanya.

Manfaat keempat, katanya ialah pelbagai jenis peluang perniagaan dan keusahawanan di Arab Saudi bagi peniaga tempatan.

“Dengan populasi seramai 31.7 juta orang, Arab Saudi adalah ekonomi ke-20 terbesar di dunia dan tersenarai di tempat kelima ekonomi paling pesat membangun dalam kalangan negara G20 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar RM2.8 trilion (AS$640 bilion).

“Sama seperti Malaysia, Arab Saudi turut mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, termasuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Selain itu, sama seperti kita, mereka turut akan melaksanakan Pelan Transformasi Nasional,” katanya.

Berita Harian

Comments