Home Tempatan 4 ahli Hizbut Tahrir mengaku tidak bersalah

4 ahli Hizbut Tahrir mengaku tidak bersalah

SHARE
BANGI 28 FEBRUARY 2017. Empat ahli kumpulan ajaran sesat Hizbut Tahrir Malaysia, Sofian Jahir (dua kanan), Abdul Hakim @ Ramizu Othman (kiri), Wan Noorul Hisyam Wan Salleh (kanan) dan Hishamuddin Ibrahim (tiga kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat masing - masing tuduhan menghina dan bersubahat menghina pihak berkuasa dengan mengadakan sidang media yang mempunyai kaitan dengan ajaran dan fahaman kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia pada 2 tahun lepas. NSTP/ROSELA ISMAIL

BANGI: Empat anggota kumpulan ajaran sesat, Hizbut Tahrir Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini atas tuduhan menghina dan bersubahat menghina arahan mufti dengan mengadakan sidang media berkaitan fahaman dan ajaran kumpulan itu, dua tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh, Abdul Hakim @ Ramizu Othman, Wan Noorul Hisham Wan Salleh, Hishamudin Ibrahim, dan Sofian Jahir, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Firdaus Mohed.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Hakim, 47, didakwa telah melanggar arahan mufti yang dinyatakan melalui fatwa bertarikh 17 September 2015, jilid 68, nombor 19, fatwa kedudukan Hizbut Tahrir (2) (f) dengan cara mengadakan majlis sidang media yang disifatkan menghina pihak berkuasa agama.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis No 47-1, Jalan 7/7A, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini, jam 3.30 petang, 4 Disember 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) nombor 9, tahun 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiga lagi tertuduh iaitu Wan Noorul Hisham, 33, Hishamudin, 45 dan Sofian, 47, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Hakim untuk melakukan kesalahan sama di tempat dan pada masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 46(b) Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor, Abdul Syukor Abdul Hamid manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian

Comments