Home Tempatan 300 asnaf dirai sempena Ramadan

300 asnaf dirai sempena Ramadan

SHARE

ASIR MAS 28 April – Kegembiraan jelas terpancar pada raut wajah 300 golongan asnaf dari seluruh negeri ini apabila menerima sumbangan barangan keperluan daripada Pertubuhan Kebajikan Telekung Projek (The Telekung Projek) menerusi Jelajah Ukhuwah Ramadan.

Pengerusi The Telekung Projek, Norazila Abdul Aziz berkata, bantuan tersebut bertujuan me­ringankan beban golongan tersebut yang bakal menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

“Bukan itu sahaja, kita beri bantuan kerana mahu penerima membuat persediaan untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan lebih awal.

“Persiapan ini penting bagi memastikan mereka berada dalam keadaan bersedia baik dari segi barangan ke­perluan mahupun rohani,” katanya dalam program Jelajah Ukhuwah Ramadan kelima di Kampung Wakaf Merah, Padang Embun di sini, hari ini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kelab Pa­cuan Empat Roda Negeri Kelantan dan Dataran Ilmu Bukit Abal, Pasir Puteh.

Norazila memberitahu, bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan kali ini, pihaknya turut menyediakan program tazkirah.

Menurutnya, ini merupakan salah satu bentuk penambahbaikan yang dilakukan terhadap program tersebut.

“Sebelum ini kita menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk turun padang bagi menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah.

“Namun kali ini, saya mengambil keputusan untuk mengumpul semua penerima dalam satu majlis dan ini secara tidak langsung mampu mengukuhkan hubungan antara masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, seramai 150 anak ya­tim turut berkongsi kegembiraan apabila menerima sumbangan basikal dalam program tersebut.

Katanya, sumbangan itu diberikan bagi memudahkan anak-anak yatim untuk ke sekolah.

Norazila menambah, dia berharap penerima dapat memanfaatkan sebaik mungkin sumbangan tersebut.

UTUSAN ONLINE

Comments