Home Tempatan 23 syarikat tawar rebat tol sehingga 30 peratus

23 syarikat tawar rebat tol sehingga 30 peratus

SHARE
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof - Sumber Gambar: Utusan Online

SERDANG : Sebanyak 23 syarikat konsesi lebuh raya akan menawarkan diskaun dan rebat tol antara enam peratus sehingga 30 peratus bagi kenderaan kelas satu sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Lebuh Raya Utara-Selatan menawarkan rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar tol secara elektronik dengan jarak perjalanan melebihi 100 kilometer (km).

Beliau berkata, penawaran rebat di lebuh raya itu akan bermula pada 19 Jun hingga 21 Jun, 28 Jun, 29 Jun dan 3 Julai.

“Syarikat konsesi MEX mengambil inisiatif membuka laluan lebuh raya percuma kepada pengguna pada 25 Jun iaitu hari raya pertama,” katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Aidilfitri.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan di lebuh raya akan dihentikan sementara bermula Ahad ini sehingga 2 Julai nanti bagi mengurangkan kesesakan sempena musim perayaan.

Katanya, arahan henti kerja ini sudah dikeluarkan, namun kementerian masih memberi pengecualian kepada kerja-kerja kritikal sepanjang tempoh 14 hari Ops Selamat itu.

Beliau berkata, pada masa sama, larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat hari iaitu pada 23 Jun dan 24 Jun serta 1 Julai dan 2 Julai.

Berita Harian

Comments