Home Tempatan 22 wanita China terima sijil bimbingan PERKIM

22 wanita China terima sijil bimbingan PERKIM

SHARE

KUALA LUMPUR: Seramai 22 wanita Islam dari Xi An, China, sanggup mengeluarkan wang simpanan untuk datang ke Malaysia semata-mata bagi mendalami agama Islam di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Mereka yang berada di sini sejak 13 Februari lalu melalui lawatan yang dinamakan Dakwah Global Merentasi Sempadan, belajar selama enam hari di PERKIM dengan mengikuti kuliah dan praktikal ibadah.

Selain pengajian agama, mereka juga dibawa melawat beberapa masjid di negara ini antaranya Masjid Negara, Masjid Cina Seremban dan Masjid Sultan Zainal Abidin di Terengganu serta dibawa melancong ke Langkawi dan Melaka.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, berkata kehadiran rombongan dari Xi An itu selaras dengan fokus PERKIM pada masa ini untuk membantu golongan minoriti Islam di negara serantau dalam mendalami Islam walaupun berbilang mazhab di samping tidak melupakan budaya mereka.

“Fokus PERKIM adalah di negara berdekatan dahulu seperti China dan Vietnam kerana negara maju seperti di Eropah rakyatnya lebih mudah untuk mengakses maklumat dan mendapatkan bantuan.

“Usaha ini penting untuk memberi kefahaman mengenai Islam dan bagi rombongan berkenaan kita ingin menunjukkan bahawa Islam adalah agama kebajikan dan sederhana.

“Selain itu, dengan lawatan seperti ini, ia memberikan peluang kepada PERKIM untuk mengetahui masalah, cabaran dan persepsi golongan bukan Islam di sana dan negara lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Bimbingan Agama Islam kepada Wanita Islam Xi An, China di Bangunan PERKIM, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua rombongan berkenaan, Aisyah An Fuxian, berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada PERKIM kerana memberikan layanan yang sempurna sejak kedatangan mereka dua minggu lalu.

“Sebenarnya kami semua tidak mengenali antara satu sama lain tetapi dengan lawatan ini, kami menjadi akrab malah berasa diterima sebagai keluarga Islam di sini,” katanya sewaktu berucap pada majlis itu. Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mah Lee @ Mariam Abdullah.

Berita Harian

 

Comments