Home Tempatan 19 ekstremis fail tuntutan mahkamah terhadap Zakir Naik patut ditahan

19 ekstremis fail tuntutan mahkamah terhadap Zakir Naik patut ditahan

SHARE

BANGI, 3 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Pihak berkuasa sepatutnya menahan 19 ahli kumpulan ekstremis yang bertindak memfailkan tuntutan mahkamah menuntut perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, kewujudan dan keberadaan puak ekstrem ini hanya mengundang bahaya dan mencetuskan huru hara kepada negara.

“Mereka ini hipokrit tahap ‘super’ kerana konon perjuangkan kebebasan bersuara, tetapi sekarang mereka pula yang mahu sekat.

“Kerajaan sepatutnya menahan mereka selari dengan pendirian untuk membasmi kegiatan ekstremisme,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan mahkamah yang difailkan oleh sekumpulan aktivis dengan diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy bersama 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives, Lim Teck Ghee.

Tuntutan yang difailkan mereka itu memohon satu perintah bagi Ketua Polis Negara untuk segera menangkap Zakir Naik, juga membatalkan status tokoh agama itu sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, termasuk perintah mengusirnya dengan segera dari negara.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini.

Dalam dokumen mahkamah itu, mereka mendakwa bahawa ajaran Zakir menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.

Comments